Di acara Kaspersky Cyber Security Weekend, Kaspersky telah menunjukkan beberapa butiran menarik mengenai corak serangan siber khususnya untuk pasaran Asia Pasifik.

Dari Januari sehingga Julai 2024, Kaspersky Labs melaporkan bahawa mereka telah menghalang sebanyak 245 juta serangan atas talian, 340 juta serangan daripada perisian hasad yang dimuat-turun, 2.76 juta pencuri kata laluan (keylogger), 1.29 juta serangan perisian tebusan dan banyak lagi.

Sepanjang bulan-bulan ini juga, Malaysia dilihat sebagai salah satu daripada lima negara di pasaran Asia Pasifik yang memperlihatkan jumlah serangan perisian hasad yang terbanyak, di tempat keempat, dengan 31.4 peratus daripada pengguna dan perniagaan tempatan yang terkesan akibat serangan-serangan godaman atas talian ini.
Jumlah hos hasad (komputer yang digunakan untuk memulakan serangan siber) juga telah meningkat di rantau APAC, dimana Singapura, Jepun dan Australia merekodkan jumlah hos hasad yang tertinggi.

Sehingga 0.97 peratus daripada komputer dan mesin playan di Singapura digunakan sebagai hos hasad ini. Perkara ini mungkin berlaku dimana komponen-komponen ini digodam secara jarak jauh, dan kerana ia tidak dimanfaatkan untuk tujuan lain, ia mudah diakses dan digunakan untuk pelbagai tujuan jahat.
Lebih menarik lagi, pada tahun ini jumlah peranti pintar yang terkesan akibat serangan godaman dan perisian hasad juga semakin meningkat. Berdasarkan pengguna perisian sekuriti Kaspersky Labs untuk peranti pintar, tiga negara yang memperlihatkan pengesanan perisian hasad pada peranti pintar tertinggi di Asia Pasifik termasuklah Taiwan (51.67%), China (17.04%) dan India 9.88%).

22.2 peratus pengguna yang terkesan menemui perisian trojan perbankan pada peranti-peranti mereka manakala16.9 peratus menemui perisian keylogger yang mencuri kata laluan. Dalam pada itu, perisian trojan perbankan didapati ialah perisian hasad yang tertinggi yang dikesan apabila dibandingkan dengan perisian-perisian hasad yang lain pada peranti pintar.
Perisian-perisian hasad ini mungkin boleh dimuat-turun melalui aplikasi yang dimuat-turun secara parti ketiga, ataupun perisian yang tidak melepasi piawaian gedung aplikasi Apple ataupun Google.
Perkara ini memperlihatkan kepentingan dalam memahamkan bahawa tiada peranti di dunia sekarang yang benar-benar selamat daripada serangan perisian hasad. Ia merupakan tanggungjawab individu untuk memastikan peranti-peranti mereka selamat digunakan.



