Kastam Arah Lori Kontena Asal Israel Cuba Masuk Perlis Dari Thailand Patah Balik

5 Jun 2024 • 12:50 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kastam Arah Lori Kontena Asal Israel Cuba Masuk Perlis Dari Thailand Patah Balik

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dilapor telah mengarahkan sebuah lori kontena milik syarikat yang berpangkalan di Israel yang membawa muatan dagangan ayam beku untuk berpatah balik.

Menurut Sinar Harian, kejadian berkenaan berlaku pada Ahad lalu di Kompleks ICQS Padang Besar.

Pengarah JKDM Perlis, Ismail Hashim berkata, kontena tersebut didapati baru tiba dari Thailand kira-kira jam 12.03 tengah hari pada hari tersebut.

Tambahnya, lori kontena terbabit dikesan ketika melalui terowong Mesin Pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks ICQS Padang Besar.

Kastam arah kontena milik syarikat asal Israel cuba masuk Perlis dari Thailand supaya patah balik

Ketika itu, lori berkenaan sedang melakukan pengikraran Borang K1 yang bertujuan melakukan pengimportan dagangan ke dalam negara Malaysia.

“Semasa proses imbasan imej, pengendali mesin pengimbas mendapati kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ‘ZIM’ yang tertera pada badan dinding luar kontena tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Kata Ismail lagi, lori kontena berkenaan seterusnya telah ditahan bagi mendapatkan pengesahan dan pemeriksaan lanjut.

Orang ramai digesa untuk membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan

“Hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang terlibat memaklumkan bahawa kontena berlogo ‘ZIM’ adalah dilarang untuk memasuki Malaysia kerana dipercayai adalah milik syarikat berpangkalan dari Israel.

“Kenderaan terbabit diarahkan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail berkata, orang awam turut digesa untuk membantu pihak JKDM dalam memerangi pelbagai jenayah penyeludupan.

Antara menyalurkan maklumat kepada JKDM berhubung aktiviti seperti penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah kenderaan dan lain-lain.

Malah, orang ramai juga dinasihatkan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti tersebut.

“JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian