Kastam gagalkan cubaan edar 3.98 juta batang rokok seludup

31 Jan 2024 • 4:19 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan mengedar 3.98 juta batang rokok disyaki seludup dengan cukai dianggar bernilai lebih RM2.65 juta selepas menahan sebuah lori di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Batu Caves, Selangor, 15 Jan lepas.

Pengarahnya Mohd Asri Seman berkata lori itu ditahan pada 2 petang ketika dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur menggunakan laluan Persekutuan Kuala Lumpur-Gua Musang menghala ke Kuala Lumpur.

“Pemandu lori itu yang merupakan warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata keseluruhan rampasan termasuk lori dianggar bernilai lebih RM3.067 juta.

Rokok itu, katanya dipercayai untuk diedar di kawasan Lembah Klang atau selatan tanah air.

Menurut Mohd Asri pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu melibatkan sindiket pengedaran rokok seludup yang bergerak pada waktu puncak dan menggunakan lori bonded untuk mengaburi pihak berkuasa. -Bernama