
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 14,228 liter minyak diesel bersubsidi dianggar bernilai RM30,591, dalam dua operasi Januari lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata dalam operasi pertama pada 27 Jan, Kastam Cawangan Penguatkuasaan Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori tangki bernombor pendaftaran negara jiran di pintu keluar kargo (eksport) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini pada 11.45 pagi.
“Pemeriksaan awal di lokasi mendapati muatan lori tersebut mengandungi minyak diesel. Hasil siasatan mengesahkan ada muatan dalam lori tersebut mengandungi 12,448 liter minyak diesel beranggaran nilai lebih kurang RM26,764,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sazali berkata dua lelaki warga asing berumur lingkungan 40-an yang juga pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan, yang kemudiannya dilepaskan dengan jaminan kastam.
Beliau berkata modus operandi mereka adalah dengan mengikrarkan muatan sebagai butane mix iaitu barang yang tidak tertakluk kepada lesen eksport dan tiada cukai untuk mengaburi pihak kastam bagi mendapatkan pelepasan terus.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang tidak berkastam atau larangan.
Sementara itu, dalam operasi kedua Sazali berkata sebanyak enam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diubah suai dengan tangki khas tambahan bermuatan diesel ditahan di pintu keluar kenderaan ringan atau persendirian (eksport) di Kompleks ICQS antara 7 hingga 8.30 malam, pada 29 Jan lepas.
Katanya, sebanyak 1,780 liter minyak diesel bernilai RM3,827 daripada semua kenderaan berdaftar di negara jiran itu dirampas manakala enam lelaki warga asing yang juga pemandu kenderaan itu dilepaskan dengan jaminan kastam.
“Pemeriksaan rapi pasukan menemukan minyak diesel dalam kesemua hasil tangki khas (tambahan) pada kenderaan tersebut dengan kenderaan pertama mengandungi minyak diesel 400 liter, kenderaan kedua (200 liter), kenderaan ketiga (180 liter), kenderaan keempat (130 liter), kenderaan kelima (400 liter) dan kenderaan keenam (470 liter),” katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cuba mengelak dengan cara fraud dan apa-apa duti kastam atau cuba menyeludup keluar barangan larangan eksport. -Bernama

