Kastam Pahang rampas 5.13 kilogram serbuk disyaki Etomidate

5 Nov 2026 • 1:10 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kastam Pahang rampas 5.13 kilogram serbuk disyaki Etomidate

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan menyeludup masuk 5.13 kilogram serbuk putih dipercayai Etomidate yang dianggarkan bernilai RM769,500 dalam satu operasi di sebuah pusat kurier di Shah Alam, Selangor, awal September lalu.

Rampasan itu dilakukan kira-kira pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuantan selepas mengesan penghantaran mencurigakan hasil risikan serta maklumat orang awam.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd. Asri Seman berkata, pemeriksaan terhadap bungkusan berkenaan membawa kepada penemuan satu paket lutsinar yang mengandungi serbuk putih seberat 5.13 kilogram, namun diikrar sebagai asid.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati bahan berkenaan dipercayai Etomidate yang dihantar dari India dengan melalui China sebagai negara transit sebelum memasuki Malaysia.

“Bahan itu ditahan kerana pengimportannya tertakluk kepada syarat tertentu di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, termasuk pemeriksaan dan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta keperluan lesen mengikut Akta Racun 1952,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Menurut beliau, pengimportan bahan berkenaan tanpa memenuhi syarat ditetapkan adalah satu kesalahan, justeru pihaknya menyita keseluruhan bungkusan itu untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, kita masih menunggu keputusan analisis kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar serbuk yang dirampas sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Mengulas mengenai kegunaan bahan berkenaan, Mohd. Asri berkata, Etomidate lazimnya digunakan dalam bidang perubatan sebagai ubat bius, selain boleh diproses menjadi bahan cecair untuk digunakan dalam peranti rokok elektronik atau vape.

Sehubungan itu, katanya, pengimportan serbuk Etomidate perlu mendapat kebenaran KKM berikutan bahan berkenaan tertakluk kepada kawalan perundangan yang ditetapkan.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahan itu mempunyai kaitan dengan penghasilan cecair vape dikenali sebagai ‘mushroom’ atau ‘piu-piu’ yang dipercayai digunakan dalam kalangan remaja, namun perkara tersebut masih belum dapat dipastikan tanpa pengesahan makmal.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan berasingan, JKDM Pahang turut melaksanakan operasi di Sungai Jawi, Pulau Pinang yang membawa kepada rampasan 400,000 batang rokok putih dipercayai diseludup dari Vietnam serta 6,504 tin minuman keras pelbagai jenama dari Indonesia.

Mohd. Asri berkata, rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM32,000 dengan jumlah duti dan cukai yang cuba dielakkan sebanyak RM276,000, manakala minuman keras bernilai RM22,342.32 itu membabitkan anggaran duti dan cukai melebihi RM95,000. – UTUSAN

 

The post Kastam Pahang rampas 5.13 kilogram serbuk disyaki Etomidate appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved