SHAH ALAM - Cubaan menyeludup dadah jenis ketamin dan bunga ganja bernilai lebih RM2.24 juta digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menerusi dua operasi berasingan di Selangor dan Kelantan baru-baru ini.
Dalam operasi pertama pada 13 Ogos lalu, sebanyak 44.501 kilogram ketamin bernilai RM2.22 juta dirampas hasil pemeriksaan terhadap tiga kotak kurier import di sebuah pusat mel syarikat kurier sekitar Sepang.
Pengarah JKDM Selangor, Noraidah Ishak berkata, pemeriksaan menerusi Operasi Mekong Dragon VII itu menemukan keseluruhan 44.501 kilogram dadah disyaki ketamin yang disembunyikan dalam 44 bungkusan plastik.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap kotak pertama menemukan 15 bungkusan plastik mengandungi 15.265 kilogram ketamin, manakala kotak kedua mengandungi 15 bungkusan seberat 15.236 kilogram.
"Turut ditemukan dalam kotak ketiga ialah 14 bungkusan plastik yang disyaki mengandungi ketamin seberat 14 kilogram.
"Keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM2,225,050," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, modus operandi sindiket dipercayai menggunakan dokumen pengikraran air waybill yang mengandungi maklumat tidak benar bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
"Kotak pertama dan kedua diikrarkan sebagai barangan perubatan termasuk pembalut mampatan elastik, fabrik tidak steril, stetoskop dan alat pernafasan, manakala kotak ketiga diikrarkan sebagai penapis udara marin plastik.
"Dagangan berkenaan dipercayai diimport dari sebuah negara di benua Eropah dengan alamat penerima di sekitar Sepang, Selangor," katanya.
Dalam kes berasingan, Noraidah berkata, pihaknya turut merampas 0.286 kilogram bunga ganja bernilai RM22,880 menerusi Operasi Shieldgate di sekitar daerah Jeli, Kelantan pada 13 Oktober lalu.
Noraidah berkata, rampasan itu dilakukan selepas anggota penguat kuasa mengekori sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran yang ditunggang dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit bertindak melarikan diri sebaik menyedari diekori sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar sebelum berjaya meloloskan diri melalui jalan sempit.
"Ketika melarikan diri, suspek mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna hijau di tepi jalan.
"Pemeriksaan terhadap bungkusan itu menemukan bahan disyaki bunga ganja seberat 0.286 kilogram," katanya.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan motosikal tanpa nombor pendaftaran bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan memudahkannya melarikan diri sekiranya kegiatan itu diketahui.
Ujarnya, keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes berkenaan berjumlah 44.787 kilogram dengan anggaran nilai RM2,247,930.
"Kesemua barang kes telah disita dan dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut.
"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.






