Kastam Tumpaskan Cubaan Seludup Minuman Keras Bernilai RM270K Ke Sarawak

26 Jun 2024 • 2:55 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Cubaan seludup minuman keras gagal

Kastam Tumpaskan Cubaan Seludup Minuman Keras Bernilai RM270K Ke Sarawak. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk minuman keras pelbagai jenama bernilai RM270,300 dalam satu operasi di Pelabuhan Senari.

Operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching. Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya, berkata hasil pemeriksaan rapi ke atas sebuah kontena yang ditahan, pihak berkuasa menemukan beberapa kotak mengandungi botol minuman keras pelbagai jenama bersetem cukai yang tidak diikrarkan.

image is not available
Kastam Tumpaskan Cubaan Seludup Minuman Keras Bernilai RM270K Ke Sarawak. Sumber: The Borneo Post

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM672,410, termasuk duti dan cukai sebanyak RM123,604.93. Daripada jumlah tersebut, 1,664 botol minuman keras bernilai RM270,300 dan duti dan cukai bernilai RM58,417.09 dirampas.

Menurut Norizan, modus operandi yang digunakan sindiket penyeludup ini ialah membuat pengikraran tidak betul tanpa memperincikan setiap barangan yang dibawa masuk. Mereka turut menyembunyikan minuman keras tersebut dengan memasukkannya bersama barangan dagangan lain dalam satu kontena untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Lebih parah, mereka juga cuba mengelakkan keperluan untuk mendapatkan Permit Pergerakan yang ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Pemindahan) (Pindaan) 2022.

Kesemua barangan tersebut dirampas kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu membuat pengikraran tidak betul dan Seksyen 138 akta sama kerana gagal mematuhi Perintah Kastam (Larangan Pemindahan)(Pindaan) 2022.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya. Manakala kesalahan di bawah Seksyen 138 akta sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

image is not available

JKDM Sarawak menyeru orang ramai untuk membantu pihak berkuasa memerangi kegiatan penyeludupan dengan menyalurkan maklumat ke Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Baca lagi artikel menarik: