Polis Gagalkan Cubaan Seludup 4 Kilogram Syabu Dari Sabah Ke Sarawak

19 Jun 2024 • 4:09 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Syabs IPD Beluran

Polis Gagalkan Cubaan Seludup 4 Kilogram Syabu Dari Sabah Ke Sarawak. Polis berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup masuk dadah jenis syabu seberat 4.072 kilogram dari Tawau ke Sarawak apabila anggota Pasukan Gerakan Am menahan sebuah kereta di Road Check Point (RCP) Sapi Nangoh pada Jumaat lepas (14 Jun).

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, seorang daripada dua suspek melarikan diri dengan memecut laju kereta Proton Saga kelabu bernombor pendaftaran SYR7763, manakala rakannya yang berusia 43 tahun berjaya ditahan.

image is not available
Polis Gagalkan Cubaan Seludup 4 Kilogram Syabu Dari Sabah Ke Sarawak. Sumber: Utusan Borneo

“Polis sedang memburu suspek dikenali sebagai Justin Vau Langat, 27, yang beralamat di Long Nahan Baram, Sarawak dan mempunyai rekod berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 di Negeri Sembilan.

“Hasil siasatan mendapati suspek datang ke sini untuk mengambil syabu dan membawanya balik ke Sarawak untuk pasaran di sana,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hasan menjelaskan bahawa sewaktu kejadian, anggota bertugas menahan kereta Proton Saga yang dinaiki kedua-dua suspek. Sewaktu pemeriksaan, seorang daripada suspek menemani anggota bertugas sebelum sebuah plastik berwarna hitam ditemui.

“Tiba-tiba suspek (Justin Vau) bertindak memecut kenderaan menuju ke Jalan Telupid-Ranau. Pemeriksaan lanjut ke dalam plastik hitam itu menemui satu plastik oren yang berisi empat bungkusan plastik merah teh Cina.

“Setiap plastik teh tersebut mengandungi bahan hablur yang disyaki syabu. Kesemua dadah itu bernilai RM130,304,” tambahnya.

Hasan berkata suspek yang ditahan didapati positif dadah serta memiliki dua rekod jenayah berkaitan dadah dan kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Solahuddin Mohamad di talian 019-9810144 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di 089-5111222.

Baca lagi artikel menarik: