Kata Negara Pengeluar, 4 Jawapan Khas Untuk Mereka Yang Pertikai Kenapa Harga Minyak Malaysia Naik

LocalBusiness & Finance
31 Mar 2026 • 7:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kata Negara Pengeluar, 4 Jawapan Khas Untuk Mereka Yang Pertikai Kenapa Harga Minyak Malaysia Naik

Isu harga minyak global yang meningkat mendadak akibat krisis di Timur Tengah kini menjadi topik paling hangat dibincangkan di mana-mana sahaja.

Baik di peringkat nasional oleh pemimpin negara di Putrajaya, mahupun sembang-sembang kedai kopi oleh rakyat biasa di ceruk kampung.

Satu stigma yang pasti menjadi pertanyaan sebahagian daripada rakyat Malaysia adalah, “Kita negara pengeluar minyak, kenapa pula Malaysia terjejas dan kena naik harga ikut harga dunia?”

Bagi mereka rumusnya mudah, harga minyak kita patut kekal murah walau apa pun yang berlaku di peringkat global kerana kita pengeluar minyak.

Sebagai pemilik ‘emas hitam’ sendiri, Malaysia sepatutnya kebal daripada sebarang krisis minyak yang melanda dunia.

Namun cerita sebenar adalah berbeza. Malaysia masih perlu mengimport minyak dari negara lain dan itulah realiti yang kita kena terima sekarang ini.

image is not available
Gambar: BERNAMA

Permintaan melebihi pengeluaran

Ya, Malaysia memang mengeluarkan minyak sendiri namun tidak dapat memenuhi keperluan domestik. Ketika ini, jumlah pengeluaran minyak negara melalui PETRONAS secara purata adalah kira-kira 350,000 barel minyak crude sehari. Angka tersebut jauh lebih rendah, iaitu kira-kira separuh daripada output keseluruhan yang pernah dicapai sebelum ini.

Manakala sistem penapisan minyak negara pula memerlukan kira-kira 600,000 barel minyak crude sehari untuk memenuhi keperluan tenaga domestik seperti petrol, diesel, bahan api jet (kerosin) dan gas cecair petroleum (LPG).

Jurang antara pengeluaran minyak tempatan dengan kapasiti sebenar yang diperlukan adalah bersifat struktural dan signifikan. Ia bukan satu situasi yang boleh diatasi dalam masa yang singkat.

Secara hakikatnya, Malaysia memang perlu bergantung kepada bekalan minyak daripada pengeluar minyak lain untuk memenuhi keperluan tenaga dalam negara.

Hampir 50 peratus bekalan minyak Malaysia lalu Selat Hormuz

Selat Hormuz merupakan laluan penting kepada penghantaran kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.

Negara-negara yang mendapatkan bekalan minyak dari pengeluar minyak di Timur Tengah, termasuk Malaysia, bergantung penuh kepada laluan ini untuk penghantaran minyak masing-masing.

Apabila perang meletus dan Selat Hormuz ditutup, laluan ini menjadi tidak selamat kepada aktiviti pelayaran kapal termasuk kapal tangki minyak. Impak penutupan tersebut dirasai secara langsung oleh negara-negara yang bergantung kepada bekalan minyak dari Rantau Teluk seperti Malaysia.

image is not available
Gambar: BERNAMA

Ramai yang tidak tahu, tahun lalu Malaysia mengeksport kira-kira US$5.5B bekalan minyak mentah ke luar negara, tetapi kita mengimport hampir US$12.6B ke dalam negara. Dengan data ini, dapat dilihat yang Malaysia mengimport lebih banyak minyak daripada yang kita eksport ke luar negara. Tambahan lagi, hampir separuh bekalan minyak negara yang diimport melalui Selat Hormuz

Petrol di dalam kereta, diesel untuk lori dan gas memasak untuk memastikan dapur menyala, semuanya bergantung dengan rantaian bekalan yang merentasi antara laluan perairan yang paling bergolak di dunia ketika ini.

Situasi ini tidak boleh dilihat sebagai satu kelemahan, tetapi perlu dipandang sebagai satu realiti yang kena difahami oleh orang ramai berkenaan struktur kedudukan tenaga Malaysia.

Fakta di atas adalah jawapan mengapa gangguan bekalan global pada skala sebegini memberi kesan kepada Malaysia.

Ada juga yang beranggapan negara, melalui syarikat minyak tempatan, misalnya mendapat durian runtuh apabila harga minyak dunia naik. Namun, hakikatnya tidak semudah itu.

Konflik yang menyebabkan harga minyak naik ini juga sebenarnya menyebabkan kos operasi di sepanjang rantaian nilai industri turut meningkat.

Di atas kertas, pendapatan mungkin bertambah, tetapi kos yang dikeluarkan untuk mengekalkan operasi juga melonjak sama tinggi.

Harga minyak dunia meningkat mendadak sejak 27 Februari

Sejak konflik meletus pada 27 Februari lepas, harga minyak dunia sebenarnya meningkat secara mendadak sehingga melepasi angka $100 per barel.

Untuk melihat harga dunia, terdapat dua penanda aras yang dirujuk iaitu West Texas Intermediate (WTI) dan Brent Crude Oil. Setakat 29 Mac, penanda aras WTI menunjukkan minyak didagangkan pada $99.64 per barel dan Brent Crude Oil pada $112.57 per barel.

image is not available
Gambar AI

Angka tersebut adalah 39 peratus (WTI) dan 47 peratus (Brent Crude Oil) lebih tinggi berbanding sebelum perang meletus sebulan yang lalu.

Negara-negara yang tidak bergantung kepada bekalan minyak dari Timur Tengah turut berdepan dengan tekanan kerana harga minyak yang dibayar tetap ditentukan berdasarkan penanda aras global ini.

Malaysia negara ekonomi terbuka, bergantung kepada pasaran global

Pandangan yang mengatakan bahawa Malaysia tidak sepatutnya terjejas dengan situasi di Timur Tengah dan ketidaktentuan pasaran minyak adalah tidak tepat.

Kita harus sedar, Malaysia adalah negara terbuka dengan ekonomi bergantung kepada pasaran global termasuk dalam soal bekalan tenaga. Sebarang konflik yang tercetus, terutamanya di rantau Timur Tengah yang menjadi lokasi pengeluar minyak utama dunia, sudah tentu akan memberi kesan kepada kita.

Apabila konflik meletus di Timur Tengah dan Selat Hormuz ditutup, harga minyak melambung bukan kerana kita kekurangan sumber minyak dalam tanah. Tetapi apa yang berlaku adalah kos untuk mengangkut bekalan minyak dari sana hingga masuk ke tangki kereta kita meningkat dengan mendadak.

image is not available
Gambar: BERNAMA

Kapal tangki minyak yang hendak melalui Selat Hormuz, yang kini menjadi lokasi konflik aktif, berdepan dengan risiko keselamatan yang tinggi dan perlu membayar premium insurans yang jauh lebih mahal.

Dua perkara tersebut meletakkan pengendali kapal dalam dilema, namun pilihan yang ada pula adalah terhad.

Apa pun pilihan yang diambil, kita memang tidak dapat lari daripada membayar harga minyak yang lebih tinggi buat masa ini.

Kerajaan terus lindungi rakyat di tengah-tengah tekanan harga minyak dunia meningkat

Walaupun kita ditekan dengan peningkatan harga minyak dunia, namun kerajaan mengambil pendekatan untuk terus melindungi rakyat. Harga minyak bersubsidi terus dikekalkan pada harga RM1.99 seliter menerusi program BUDI MADANI RON95 yang dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak.

Penerima BUDI Diesel Individu dan BUDI Diesel Agri-Komoditi juga menerima tambahan bantuan tunai sebanyak RM100, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi bulan Mac meningkat kepada RM300.

Subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan tertentu pula dilaksanakan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi 23 jenis pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.05 seliter melalui fleet card petrol.

Manakala harga subsidi diesel bagi 10 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat awam pula ditetapkan pada RM1.88 seliter melalui fleet card diesel.

image is not available
Gambar: BERNAMA

Situasi krisis tenaga dunia ketika ini bukan sahaja dirasai di Malaysia, malah turut membawa pelbagai kesan kepada kelangsungan hidup penduduk di negara lain.

Misalnya Filipina pada 24 Mac terpaksa mengisytihar darurat tenaga berkuatkuasa selama setahun akibat ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global. Di Myanmar, kerajaannya melaksanakan catuan bahan api bagi kenderaan persendirian berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan genap-ganjil. Manakala di Bangladesh pula, kerajaan negara itu terpaksa menutup sementara operasi universiti dan sekolah bagi menjimatkan bekalan tenaga.

Tidak boleh letak tepi apa yang sedang berlaku di peringkat global

Kesimpulannya, setiap titik minyak petrol yang masuk ke dalam tangki minyak kenderaan kita mempunyai jejak perjalanan merentasi sempadan antarabangsa yang sangat terdedah dengan situasi geopolitik.

Sebagai warga Malaysia, pelbagai amalan boleh dilakukan untuk memastikan kita mengawal perkara ini daripada sekecil-kecil perkara. Sebagai contoh, kita boleh amalkan ‘carpool’ untuk ke tempat kerja yang sama, boleh menaiki motosikal berbanding naik kereta jika ke destinasi yang dekat dan boleh banyakkan aktiviti yang kurang menggunakan petrol dalam seharian.

Yang penting juga, kita masih boleh dapat menarik nafas lega kerana dalam kegawatan ini, Malaysia masih memilih untuk menanggung sebahagian tekanan kos dunia dalam memastikan rakyat tidak terlalu terbeban.

Oleh itu, seperti cabaran-cabaran lalu yang pernah kita harungi bersama setiap kali ada konflik mahupun pandemik, sikap kebersamaan yang ada dalam diri rakyat Malaysia dapat membawa kita kepada keadaan yang lebih tenang walaupun dunia sekarang sedang bergelumang dengan konflik antarabangsa.