Kategori baharu Muzik Pop Asia bukan untuk pisahkan artis – CEO Grammy

EntertainmentMusic
30 Jul 2026 • 3:03 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kategori baharu Muzik Pop Asia bukan untuk pisahkan artis – CEO Grammy

LOS ANGELES: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Recording Academy, Harvey Mason Jr. menzahirkan rasa sedih berhubung keputusan kumpulan K-Pop sensasi dunia, BTS, yang memilih untuk tidak menyertai anugerah berprestij Grammy bagi edisi tahun ini.

Walaupun menyifatkan keputusan BTS sebagai satu kehilangan, Mason berkata, sebagai seorang pencipta muzik, dia menghormati pendirian yang diambil oleh kumpulan tersebut.

Mengulas mengenai kontroversi pengenalan kategori Muzik Pop Asia yang mengundang pelbagai reaksi, Mason menjelaskan bahawa kategori baharu itu diwujudkan khusus bagi meraikan kepelbagaian seni muzik dari benua Asia.

“Tujuan utama kategori ini adalah untuk memberi tumpuan khas kepada artis-artis penting ini. Lebih banyak kategori bermakna lebih banyak karya seni yang mendapat pengiktirafan.

“Ia sama sekali bukan bertujuan untuk memisahkan, sebaliknya bertujuan meluaskan skop pengiktirafan oleh 15,000 pengundi Grammy kami,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Dalam pada itu, Mason turut membetulkan salah faham mengenai penyertaan dalam kategori yang dipertandingkan.

Jelasnya, mana-mana artis yang dicalonkan dalam kategori seperti Pop Asia, Jazz, atau Country tidak bermakna mereka diketepikan daripada kategori utama.

“Kategori berprestij seperti Rakaman Terbaik Tahun Ini, Album Terbaik Tahun Ini, dan Lagu Terbaik Tahun Ini kekal terbuka kepada mana-mana karya yang layak tanpa mengira genre muzik yang dibawa.

“Seseorang artis sememangnya boleh bertanding kedua-dua kategori serentak.

“Organisasi Grammy wujud untuk memberi pengiktirafan kepada muzik dan semua insan di belakang tabir yang menghasilkannya,” tambahnya.

Mason turut menegaskan pihaknya akan terus mendengar suara komuniti muzik global dalam usaha menghargai semua artis yang telah emberi impak besar kepada dunia. -UTUSAN

The post Kategori baharu Muzik Pop Asia bukan untuk pisahkan artis – CEO Grammy appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved