Katie Zacharia disingkirkan selepas lima hari jadi jurucakap Trump

WorldPolitics
17 Oct 2026 • 9:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Katie Zacharia disingkirkan selepas lima hari jadi jurucakap Trump

WASHINGTON: Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Katie Zacharia, disingkirkan daripada jawatannya semalam, kurang seminggu selepas dilantik, susulan beberapa kesilapan yang menambah tekanan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan perkara itu kepada AFP selepas Fox News melaporkan Zacharia, 41, akan meninggalkan jawatannya.

Petanda mengenai penyingkiran itu muncul lebih awal apabila Trump memberi bayangan bahawa beliau bersedia menggugurkan jurucakap yang baru dilantiknya itu.

Zacharia berdepan kritikan selepas timbul dakwaan beliau menyamar sebagai peguam, selain menerima kecaman susulan sesi taklimat media pertamanya yang menjadi bahan ejekan ramai.

Zacharia baru lima hari memulakan tugasnya bagi menggantikan Karoline Leavitt, yang dikenali dengan pendekatan agresifnya ketika berdepan media.

Leavitt membantu Trump mengubah pendekatan liputan Rumah Putih dengan memberi ruang kepada lebih banyak organisasi media yang cenderung menyokong pentadbirannya, selain lantang menyerang media yang mengkritiknya.

Zacharia berdepan permulaan yang sukar apabila mengendalikan sesi taklimat media pertamanya pada 13 Oktober lalu.

Sesi taklimat media itu berlangsung kurang 15 minit, dimulakan dengan Zacharia membaca secara perlahan senarai pencapaian Trump sebelum hanya menjawab tiga soalan daripada wartawan.

Beliau kemudian mencetuskan kontroversi apabila dakwaan terdahulu bahawa dirinya seorang peguam didapati tidak benar.

Perkembangan itu menambah tekanan terhadap Trump, 80, yang sedang melakukan lawatan ke seluruh negara bagi meningkatkan sokongan terhadap calon Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 3 November ini, ketika tinjauan pendapat meramalkan parti itu bakal mengalami kekalahan besar.

Trump sendiri turut berdepan kemerosotan sokongan dalam tinjauan pendapat, ketika rakyat Amerika semakin tidak berpuas hati terhadap perang dengan Iran, inflasi dan persepsi mengenai amalan rasuah.

The post Katie Zacharia disingkirkan selepas lima hari jadi jurucakap Trump appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved