Kawalan keselamatan dipertingkat selepas keputusan PRN diumum

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 1:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kawalan keselamatan dipertingkat selepas keputusan PRN diumum

SEREMBAN: Polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik termasuk Istana Besar Seri Menanti dan pejabat kerajaan negeri selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara selain mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini selepas pilihan raya berakhir.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu cuba mencetuskan pergeseran susulan rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan PRN.

“Kami bukan sahaja menjaga keselamatan sebelum dan semasa pilihan raya malah selepas proses pengundian selesai.

“Kami juga akan mempertingkatkan kawalan di kawasan-kawasan yang kami percaya begitu penting untuk dilihat terutama sekali di pejabat kerajaan negeri, di Istana Yang di-Pertuan Besar dan juga beberapa jabatan lain yang penting.

“Dalam tempoh pasca pilihan raya mungkin ada pihak yang cuba bermusuhan sekiranya berlaku perubahan kepimpinan atau terdapat parti yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua penyokong parti politik supaya terus berdisiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan keselamatan kekal terkawal.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Khalid berkata, proses pengundian di seluruh Negeri Sembilan berjalan lancar setakat ini tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Mengulas siasatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, beliau berkata, polis sedang mengatur pegawai bagi mendapatkan keterangannya.

“Perkara ini masih dalam siasatan. Ketua Polis Negeri Sembilan telah mengatur pegawai untuk mendapatkan kenyataan beliau.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak membuat spekulasi kerana siasatan memerlukan keterangan serta bukti daripada pihak berkaitan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata, sejak proses PRN bermula, polis menerima 92 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya dengan 24 kertas siasatan dibuka, termasuk membabitkan dakwaan sogokan wang kepada pengundi. – UTUSAN

The post Kawalan keselamatan dipertingkat selepas keputusan PRN diumum appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved