
SEREMBAN - Pakatan Harapan (PH) menerima tanggungjawab secara kolektif susulan kekalahan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sambil menegaskan keputusan berkenaan tidak seharusnya mencetuskan budaya saling menyalahkan dalam kalangan kepimpinan parti.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seluruh kepimpinan gabungan perlu bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut tanpa meletakkan kesalahan kepada mana-mana individu, kumpulan atau kem tertentu.
Menurut beliau, tanggungjawab itu dipikul bersama oleh semua peringkat kepimpinan, bermula daripada pucuk pimpinan sehingga ke akar umbi.
“Ini bukan masanya untuk menuding jari kepada mana-mana individu, kumpulan atau kem.
“Kami menerima tanggungjawab ini secara bersama sebagai sebuah kepimpinan, daripada peringkat tertinggi hinggalah ke akar umbi,” katanya kepada pemberita di pusat operasi PH di sini malam ini.
Dalam pada itu, Amirudin turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Negeri Sembilan yang menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN kali ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan, petugas media, sukarelawan serta jentera parti yang memainkan peranan memastikan proses pengundian berlangsung dengan lancar.
Mengulas keputusan pilihan raya, Amirudin berkata PH masih menunggu keputusan rasmi daripada SPR, namun berdasarkan kiraan terkini, gabungan itu dijangka memenangi 11 kerusi.
"Keputusan bagi 11 kerusi itu masih belum disahkan secara rasmi, namun berdasarkan penilaian kami terhadap kiraan undi, kerusi-kerusi berkenaan hampir pasti dimenangi PH,” katanya. - Getaran, 1 Ogos 2026






