Kawalan longgar penyedia platform jejas ekosistem media sosial sehingga mudaratkan pengguna - Ahli akademik

LocalTechnology
27 Dec 2025 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kawalan longgar penyedia platform jejas ekosistem media sosial sehingga mudaratkan pengguna - Ahli akademik image is not available liza27/12/2025 - 09:00 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Dis – Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dilihat sebagai langkah penting Malaysia dalam membentuk ekosistem digital yang lebih selamat, khususnya bagi melindungi kanak-kanak, keluarga dan pengguna rentan tanpa menjejaskan kebebasan bersuara di internet.

 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Kampus Kuala Terengganu, Ts. Dr. Mohd Talmizie Amron berkata, keinginan pengguna terhadap internet yang bebas sebenarnya boleh direalisasikan seiring dengan keperluan keselamatan jika tanggungjawab utama diletakkan kepada platform digital.

 

Menurut beliau, isu sebenar dalam landskap digital hari ini bukan berkaitan siapa yang boleh bersuara, sebaliknya bagaimana sistem platform direka sehingga membolehkan penipuan, fitnah, kandungan tidak bermoral dan maklumat palsu tersebar secara meluas.

 

Katanya, banyak mudarat berlaku bukan kerana pengguna terlalu bebas, tetapi disebabkan platform terlalu longgar dalam mengawal ekosistem yang mereka kendalikan, termasuk iklan palsu yang berulang, akaun penyamar yang beroperasi lama dan pautan scam yang mudah tular.

 

"Dalam konteks ini, platform digital tidak seharusnya dilihat sekadar aplikasi media sosial, tetapi sebagai pengendali sistem yang mempunyai kawalan penuh terhadap struktur, algoritma dan peraturan dalaman.

 

“Setiap sistem ada pintu, lampu, pengawal dan peraturan. Jika reka bentuknya cuai serta mengabaikan kemaslahatan pengguna, maka mudarat yang berlaku adalah kesan langsung daripada kelemahan sistem itu sendiri,” katanya ketika dihubungi DagangNews baru-baru ini.

 

image is not available
                Ts. Dr. Mohd Talmizie Amron

 

Beliau menegaskan pendekatan yang lebih adil ialah mewajibkan platform mengamalkan prinsip keselamatan-dalam-reka-bentuk atau safety-by-design dalam operasi mereka.

 

Ini termasuk mekanisme pengesahan yang munasabah terhadap pengiklan, sistem pengesanan penipuan yang pantas serta tindak balas yang jelas dan berfungsi apabila pengguna membuat laporan.

 

Tambahnya, platform yang memperoleh keuntungan daripada trafik dan keterlibatan pengguna juga perlu menanggung kos untuk melindungi pengguna, terutama kanak-kanak dan warga emas yang sering menjadi sasaran penipuan dalam talian.

 

Dalam hal ini, ONSA yang diluluskan pada Disember 2025 dan dijadual berkuat kuasa pada Januari 2026 menjadi isyarat jelas bahawa keselamatan dalam talian bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan operasi bagi platform besar.

 

Akta itu menekankan tanggungjawab platform dalam mengurus risiko kandungan berbahaya, memperkukuh perlindungan pengguna dan memperkemas tadbir urus platform digital.

 

Matlamat utama ONSA adalah untuk memastikan penyedia perkhidmatan berhenti menjadi pemerhati pasif, sebaliknya bertindak sebagai penjaga sistem yang bertanggungjawab dalam mengurus risiko kandungan.

 

Tambahnya, dalam banyak kes penipuan, platform sebenarnya menjadi laluan terakhir sebelum mangsa mengalami kerugian kewangan atau sosial.

 

"Scammer sering memanfaatkan iklan, mesej peribadi, video pendek dan ruangan komen untuk memancing mangsa dan kelewatan platform bertindak selepas ribuan laporan dibuat menunjukkan kelemahan reka bentuk sistem.

 

"ONSA mewajibkan platform lebih proaktif dengan menyediakan saluran laporan yang mudah diakses serta alat keselamatan yang benar-benar berfungsi, bukan sekadar hiasan dalam aplikasi.

 

"Selain itu, algoritma cadangan dan sistem viral juga perlu dinilai semula kerana ia tidak bersifat neutral dan cenderung mempromosikan kandungan yang mencetus emosi pengguna," katanya.


 

image is not available

 


Beliau berkata jika keterlibatan pengguna diutamakan tanpa pagar keselamatan, kandungan palsu, sensasi murahan dan unsur tidak bermoral akan sentiasa mendominasi ruang digital.

 

"Oleh itu, penyelesaian yang disarankan bukan menutup semua suara, tetapi membina pagar pintar seperti had perkongsian untuk akaun baharu yang mencurigakan, amaran jelas sebelum klik pautan berisiko serta semakan ketat terhadap iklan kewangan.

 

"Pada masa sama, platform juga perlu telus dengan melaporkan secara berkala tindakan terhadap kandungan scam, masa tindak balas dan penambahbaikan sistem bagi membina kepercayaan awam," jelasnya.

 

Beliau menegaskan peranan ibu bapa, sekolah dan komuniti tetap penting, namun beban tidak wajar diletakkan sepenuhnya kepada keluarga sedangkan platform memiliki teknologi dan sumber yang jauh lebih besar.

 

“Jika ONSA dilaksanakan secara konsisten dan platform benar-benar membetulkan reka bentuk sistem mereka, Malaysia berpotensi memiliki internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga tanpa mengorbankan kebebasan bersuara serta peluang dalam ekonomi digital,” katanya.

 

Senada dengan beliau ialah Ketua Kluster Penyelidikan Teknologi Pintar dan Sistem Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Azwa Abdul Aziz yang menyifatkan pengenalan undang-undang deeming terhadap platform multimedia oleh kerajaan sebagai langkah strategik yang selari dengan trend global dalam mengawal selia kuasa platform digital yang semakin dominan.

 

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Dataspeak Analytica Sdn Bhd berkata, pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan memastikan platform digital memikul tanggungjawab undang-undang yang setimpal dengan pengaruh mereka terhadap masyarakat.

 

image is not available
     Prof. Madya Dr Azwa Abdul Aziz

 

Menurut beliau, di peringkat antarabangsa, United Kingdom telah memperkenalkan Online Safety Act (OSA) manakala Kesatuan Eropah melaksanakan Digital Services Act (DSA) bagi mewajibkan platform besar mengurus risiko seperti kandungan berbahaya, penipuan dan penyebaran maklumat palsu secara lebih telus dan berakauntabiliti.

 

Katanya, dalam konteks Malaysia, undang-undang ini boleh dilihat sebagai usaha menyelaraskan tadbir urus digital negara dengan amalan antarabangsa, namun disesuaikan dengan realiti dan keperluan tempatan.

 

"Salah satu isu paling kritikal yang cuba ditangani melalui pendekatan ini ialah keselamatan kanak-kanak, khususnya ancaman pornografi dan eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian yang semakin mudah disebarkan melalui media sosial dan aplikasi mesej.

 

"Algoritma platform yang mengutamakan keterlibatan pengguna secara tidak langsung memudahkan kandungan berbahaya tersebar dalam komuniti tertutup tanpa pengawasan mencukupi, sekali gus meningkatkan risiko kepada golongan rentan.

 

"Melalui undang-undang ini, platform boleh diwajibkan mengambil langkah proaktif seperti pengesanan automatik kandungan berisiko tinggi, pelaporan mandatori dan kerjasama lebih rapat dengan agensi penguatkuasaan.

 

"Selain itu, isu penipuan dalam talian atau scam turut menjadi tumpuan utama berikutan peningkatan kes pelaburan palsu, penyamaran institusi kewangan dan penipuan e-dagang yang semakin kompleks," katanya.

 

image is not available

 

Beliau berkata, platform digital sering menjadi medium utama kepada aktiviti scam kerana keupayaan mereka menyasarkan mangsa melalui iklan berbayar dan mesej peribadi, menyebabkan kerugian kewangan yang besar kepada rakyat.

 

"Undang-undang itu membolehkan kerajaan meletakkan tanggungjawab pencegahan kepada platform, termasuk kewajipan memantau iklan berisiko, menutup akaun penipu dengan lebih pantas serta menyediakan mekanisme aduan yang berkesan.

 

"Dalam masa sama, penyebaran berita palsu dan maklumat tidak benar yang menjejaskan keharmonian sosial serta kestabilan ekonomi turut menjadi antara isu utama yang ingin ditangani melalui kerangka perundangan ini," katanya.

 

Melalui pelaksanaan undang-undang itu, platform diwajibkan meningkatkan ketelusan algoritma, memperkukuh proses semakan fakta dan mengambil tindakan terhadap akaun yang berulang kali menyebarkan maklumat palsu berbahaya.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang ini perlu dibuat secara telus, adil dan berakauntabiliti bagi mengelakkan penapisan berlebihan serta mengekalkan keseimbangan antara keselamatan digital dan kebebasan bersuara. - DagangNews.com

Terkini featured standard