
Malaysia menjadi antara negara terawal menghalang individu bawah 16 tahun mengakses laman media sosial dengan ia mengikut langkah Australia. Ciri ini akan menjadi standard di negara-negara lain dan bagi memudahkan kawalan (atau pemantauan) peranti milik anak, Apple memperkenalkan beberapa ciri baharu di WWDC awal pagi tadi.

Pertama sekali ialah ibu bapa atau penjaga akan menerima notifikasi sekiranya kod Screen Time yang mengawal akses dimasukkan pada peranti milik anak. Saya mempunyai anak yang lirik dan dia pernah berjaya meneka kod kunci yang saya gunakan. Dengan ciri ini, era anak memintas kawalan kerana berjaya meneka kod kunci akan berakhir.
Seterusnya proses menambah peranti anak untuk dikawal oleh peranti ibu bapa telah ditambah baik menjadikannya lebih mudah dilakukan. Ibu bapa penjaga boleh menetapkan akaun adalah milik anak bawah 16 tahun sejak dari awal. Dengan ini secara automatik aplikasi yang tidak boleh digunakan individu bawah umur dihalang di peringkat sistem operasi.

Ciri Time Allowances diperkenalkan dengan ibu bapa memberikan masa yang boleh digunakan oleh anak pada peranti. Sebelum ini had masa ditetapkan pada tahap aplikasi. Dengan elaun masa, anak diberikan X masa dan mereka bebas menggunakan aplikasi yang dibenarkan dalam tempoh tersebut.
Communication Safety ditambah baik dengan kemampuan menapis kandungan ganas dan mengerikan apabila dalam bentuk gambar atau video. Sebelum ini Communication Safety hanya menapis kandungan lucah dengan mengaburkannya secara lalai.
Terdapat juga laman untuk ibu bapa untuk mempelajari apakah kandungan sesuai untuk anak di semua peringkat umur. Dengan ini mereka boleh menilai sendiri sama ada akses yang diberikan sekarang masih terus boleh dibenarkan ataupun tidak.

Anak pula kini boleh memohon mengakses laman tertentu daripada ibu bapa serta penjaga dengan ciri Ask to Browse. Mungkin akses kepada Safari dihalang sebelum ini dan dengan Ask To Browse ia dibenarkan secara sementara.
Kesemua ciri baharu ini akan diaktifkan menerusi kemas kini Screen Time menerusi iOS 27, iPadOS 27, dan macOS 27.



