Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

TechnologyDigital
4 Jun 2026 • 10:34 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Apabila Apple melancarkan model komputer riba Apple MacBook Neo, industri perkomputeran telah terkejut melihat bahawa Apple akhirnya melancarkan komputer riba mampu-milik yang mampu bersaing sebagai sebuah peranti permulaan untuk mereka yang baru mahu berjinak dengan ekosistem Apple, apabila mereka kelak akan menaiktaraf kepada model-model seperti MacBook Air atau MacBook Pro.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Sebagai tindak-balas kepada pelancaran tersebut, Intel dan Qualcomm khususnya telah memperlihatkan siri cip pemprosesan Intel Wildcat Lake dan juga Qualcomm Snapdragon C dan memperkenalkan komputer riba yang lebih mampu-milik dan mesra dompet pengguna. Komputer riba Acer Swift Air 14 merupakan salah satu komputer riba pertama yang diperlihatkan dengan cip pemprosesan baru ini oleh Intel.

Spesifikasi

Acer Swift Air 14 hadir dengan penggunaan paparan skrin 14 inci dengan resolusi Full HD 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 yang menjadikannya sesuai sebagai komputer riba produktiviti di rumah dan sekolah kerana ia lebih tinggi berbanding dengan penggunaan paparan 1920×1080 yang lebih lebar. Menariknya, ia juga tampil dengan kadar segar semula 120Hz yang agak tinggi untuk komputer riba dengan spesifikasi ini.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan Intel Core 300 “Wildcat Lake” terbaru oleh Intel yang diperkenalkan untuk komputer riba yang lebih mampu-milik. Ini terdiri dari pilihan cip Intel Core 7 300, Intel Core 5 300 dan Intel Core 3 300 dan akan digabungkan bersama-sama memori LPDDR5X sebanyak 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Seperti yang sedia maklum, penggunaan memori sebanyak 16GB adalah jumlah minima untuk membolehkan komputer riba ini untuk memanfaatkan sistem kecerdasan buatan CoPilot+ pada sistem operasi Windows 11. Akan tetapi, untuk pengguna biasa, apa yang mungkin lebih penting ialah jumlah memori 16GB ini sedikit sebanyak akan membantu komputer riba ini mengatasi masalah lagging yang secara lazimnya diperlihatkan pada sistem komputer dengan jumlah memori yang lebih rendah.

Gabungan memori cip Intel Wildcat Lake, memori 16GB dan storan SSD PCIe 4.0 adalah cukup baik untuk menggerakkan pelbagai perisian produktiviti yang diperlukan untuk para pelajar ataupun anak-anak. Cip ini juga hadir dengan cip grafik Intel Xe3, akan tetapi kemampuan cip pemprosesan ini mungkin tidak sebaik apa yang diperlihatkan pada cip pemprosesan Intel Core Ultra X yang pernah kami ulas sebelum ini.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Ia juga hadir dengan bateri sebesar 70WHr yang dikatakan boleh menampung penggunaan selama 19 jam dengan satu pengecasan penuh. Ini bermakna bahawa apabila pengguna membawa komputer riba ini keluar dengan pengecasan penuh, ia secara teknikalnya boleh bertahan selama hampir dua hari dengan corak penggunaan konservatif.

Rekaan

Walaupun model komputer riba ini hadir dengan nama “Swift”, yang sebelum ini digunakan untuk model komputer riba yang nipis, ringan dan berkuasa, penjenamaan tersebut lebih memiripi model “Swift Go” yang juga hadir dengan model nipis dan ringan, tetapi dengan komponen yang tidak berada pada tahap prestasi yang sama.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Dari segi binaan, Acer Swift Air 14 hadir dengan rekaan rangka yang diperbuat daripada logam, tetapi masih tidak begitu berat. Dari segi penawaran palam pula, ia hadir dengan dua palam USB 3.2 Type-C, satu palam 3.2 Type-A dan satu palam audio 3.5mm.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?
Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Walaupun rangkanya diperbuat daripada logam, komputer riba ini masih lagi cukup ringan untuk diangkat dengan satu tangan sahaja, dan ini membolehkan komputer riba ini dibawa kemana-mana tanpa menjadi beban kepada pengguna. Saiz paparan 14 inci yang padat juga membolehkan komputer riba ini dimuatkan didalam beg galas bersaiz kecil dan sederhana.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Cuma bagi saya, penggunaan nama Acer Swift Air sedikit aneh kerana Acer Swift Go secara teknikalnya sudahpun digunakan untuk menandakan status mampu-milik model komputer riba dalam kelas ini. Akan tetapi mungkin penjenamaan baru ini akan memberi nafas dan perhatian baru kepada mereka yang mahu mencari komputer riba baru untuk anak-anak yang memasuki alam persekolahan ataupun pengajian tinggi.

Image from: Pandang Pertama Acer Swift Air 14 – Penawaran Mampu-Milik Atau Kompromi Semata-Mata?

Acer Swift Air 14 dijangka akan memasuki pasaran tempatan kelak, cuma buat masa ini ia masih tidak diketahui bilakah ia akan tiba.