Kawasan pencarian kanak-kanak jatuh sungai diperluas 8KM

11 Aug 2026 • 10:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kawasan pencarian kanak-kanak jatuh sungai diperluas 8KM

PETALING JAYA: Kawasan pencarian dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia yang dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai berhampiran Persiaran Subang Indah, Subang Jaya, diperluaskan sehingga melebihi lapan kilometer.

Operasi SAR diteruskan pagi ini dengan pencarian dilakukan mengikut aliran arus sungai yang deras.

Mangsa berusia tujuh tahun dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berhampiran Pasaraya Matahari kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika bermain bersama rakan-rakannya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.06 malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian sebelum operasi pencarian dimulakan.

“Operasi turut dibantu anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

“Pencarian dipecahkan kepada tiga sektor iaitu Sektor A meliputi kawasan sejauh 300 meter, Sektor B sejauh dua kilometer dan Sektor C melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pencarian dilakukan menggunakan tiga bot JBPM menerusi kaedah pencarian di permukaan air.

Jelasnya, sebanyak tiga bot diturunkan di tiga lokasi sektor berbeza bagi meneruskan operasi pencarian pada pukul 3 pagi tadi.

“Setakat pukul 9.25 pagi ini, anggota SAR menjalankan pencarian di pusat pemeriksaan kedua membabitkan laluan menghala ke Puchong menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dengan bot,” ujarnya.

Tambahnya, pasukan penyelamat berdepan cabaran apabila arus sungai yang deras selain kebimbangan hujan di kawasan hulu yang boleh menyebabkan aliran air menjadi semakin laju.

Selain itu, terdapat beberapa kawasan jeram semula jadi yang tidak boleh dilalui bot, menyebabkan aset berkenaan terpaksa dipindahkan menggunakan treler.

“Seramai sembilan anggota terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan aset membabitkan sebuah Fire Rescue Tender (FRT), dua bot dan sebuah kenderaan Triton,” jelasnya.-UTUSAN

The post Kawasan pencarian kanak-kanak jatuh sungai diperluas 8KM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved