
SUBANG JAYA – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang terjatuh ke dalam sungai di Persiaran Subang Indah di sini, semalam, berakhir selepas mayat mangsa ditemukan pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa ditemukan pada pukul 10.59 pagi oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Katanya, mayat kanak-kanak warga Indonesia itu ditemukan kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mangsa dibawa ke Pos Kawalan Bomba (PKB) pada pukul 12 tengah hari sebelum proses pengecaman dilakukan oleh ibu bapanya dan disahkan sebagai mangsa yang dicari.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi SAR ditutup sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari.
Terdahulu, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya.
Operasi pencarian kemudian diperluaskan sehingga melebihi lapan kilometer mengikut arus sungai berikutan keadaan aliran air yang laju.
Pencarian dibahagikan kepada tiga sektor dengan Sektor A meliputi jarak 300 meter, Sektor B sejauh dua kilometer manakala Sektor C melebihi lapan kilometer menghala ke Sri Muda dan Sungai Kandis. – KOSMO! ONLINE
The post Mayat kanak-kanak 7 tahun ditemukan 3km dari lokasi terjatuh appeared first on Kosmo Digital.






