KDM namakan Wetrom sebagai calon Ketua Menteri

LocalPolitics
2 Sep 2025 • 4:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menamakan Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda sebagai calon Ketua Menteri sekiranya parti itu berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pemangku Presiden, Priscella Peter mengumumkan keputusan sebulat suara itu selepas mesyuarat kepimpinan parti di ibu pejabat KDM, Penampang pada Isnin.

“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kepimpinan KDM sebulat suara bersetuju mencalonkan Datuk Wetrom sebagai calon Ketua Menteri jika parti ini memenangi PRN17 akan datang,” katanya.

Beliau berkata cadangan itu asalnya dikemukakan oleh Presiden KDM, Datuk Peter Anthony sendiri sebelum dibincang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Mesyuarat berlangsung dalam semangat perpaduan dan kekeluargaan. Saya boleh katakan dengan yakin bahawa KDM sudah benar-benar bersedia menghadapi pilihan raya negeri,” katanya.

Mesyuarat itu turut membincangkan soal pemilihan calon dan penentuan kawasan, dengan parti berkenaan mengenal pasti lebih 40 kerusi serta calon berpotensi untuk ditandingi.

Priscella berkata senarai penuh kerusi dan calon KDM akan diumumkan pada masa yang sesuai, berkemungkinan selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan.