KDN Dapatkan Maklumat Tepat Insiden Rakyat Malaysia Ditahan Bawa Dadah Di Jepun

13 Oct 2026 • 6:57 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

KDN Dapatkan Maklumat Tepat Insiden Rakyat Malaysia Ditahan Bawa Dadah Di Jepun

SUNGAI PETANI, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan berhubung dengan pihak berkuasa Jepun bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung insiden penahanan rakyat Malaysia yang dipercayai terbabit dalam kes dadah di negara itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya telah mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan untuk bertindak segera bagi memastikan perkara sebenar dapat diketahui.

“Maklumat lengkap berhubung insiden itu akan disampaikan sebaik sahaja diterima,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Awam MADANI Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah bersama dengan Menteri Dalam Negeri di sini hari ini.

Lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun pada Sabtu lepas selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta).

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal. Mereka menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saifuddin Nasution berkata langkah itu selari dengan pendekatan diambil dalam insiden penahanan pembantu juruterbang Malaysia di Jakarta, Indonesia beberapa bulan lepas dan kes rampasan 521 kilogram dadah dari sebuah jet peribadi di Laos yang awalnya didakwa dari negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan 17 syor atau inisiatif yang digerakkan menerusi jawatankuasa bersama KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperkukuh keselamatan di KLIA dan pintu masuk negara akan diteruskan.

Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu merangkumi tiga fasa, dengan fasa pertama memberikan tumpuan kepada destinasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

“Bagi destinasi yang disenaraikan sebagai berisiko tinggi, pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang, termasuk pemeriksaan badan dan bagasi akan dilaksanakan 100 peratus,” katanya.

Baca juga:

Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata destinasi di Jepun termasuk Tokyo tidak termasuk dalam senarai asal kawasan berisiko tinggi berkenaan.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved