
SUNGAI PETANI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah untuk mendapatkan maklumat tepat daripada pihak berkuasa Jepun berhubung penahanan rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan
mendapatkan situasi sebenar berhubung kes itu dengan segera.
“Maklumat lengkap berhubung insiden berkenaan akan disampaikan kepada media sebaik sahaja diterima,” katanya pada sidang akhbar program Townhall Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penahanan lima rakyat Malaysia termasuk seorang wanita yang disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram (kg) kokain bernilai RM3.1 juta di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu.
Berdasarkan laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.
Kesemua suspek dipercayai menyembunyikan dadah di bawah pelapik kasut ketika menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum kegiatan mereka terbongkar sebaik tiba di Jepun.
Saifuddin berkata, langkah mendapatkan maklumat itu juga selari dengan pendekatan diambil dalam insiden penahanan pembantu juruterbang Malaysia di Jakarta, Indonesia sebelum ini dan rampasan 521kg dadah daripada sebuah jet peribadi di Laos yang pada awalnya didakwa dari negara ini.
Jelasnya, pelaksanaan 17 syor yang digerakkan menerusi jawatankuasa bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan bagi memperkukuh keselamatan di KLIA dan pintu masuk negara akan diteruskan seperti dirancang.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif itu merangkumi tiga fasa dengan fasa pertama memberi tumpuan kepada destinasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi atau hotspot.
“Bagi destinasi yang disenaraikan sebagai hotspot, pemeriksaan menyeluruh terhadap penumpang, termasuk pemeriksaan badan dan bagasi, akan dilaksanakan 100 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, Jepun termasuk Tokyo tidak berada dalam senarai asal kawasan hotspot yang disenaraikan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE
The post 5 rakyat Malaysia seludup kokain di Tokyo, PDRM dapatkan maklumat appeared first on Kosmo Online.




