
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM22 bilion bagi memperkasakan tahap keselamatan dan pertahanan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM 7.1 bilion ringgit dikhususkan untuk membeli dan penyelenggara aset tentera, polis dan badan beruniform di bawah KDN.
Katanya, bagi memantapkan lagi ketersediaan fasiliti serta kecekapan operasi pasukan keselamatan di seluruh negara, beberapa kemudahan baharu bakal dibina di lokasi-lokasi strategik.
“Antara fasiliti baharu yang akan dibina merangkumi Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Tanjung Kupang, Johor; Kompleks Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras; serta Pejabat Imigresen Keningau, Sabah.
“Selain itu, kerajaan turut membina tiga buah balai polis baharu iaitu di Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Malim, Perak; dan Batu Lintang, Sri Aman, Sarawak bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kawalan keselamatan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN
The post KDN, Kementerian Pertahanan terima peruntukan RM22 bilion appeared first on Utusan Malaysia.






