Kastam rampas rokok, minuman keras lebih RM700,000 dalam dua bulan

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 8:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kastam rampas rokok, minuman keras lebih RM700,000 dalam dua bulan

PETALING JAYA – Peruntukan RM1.1 bilion diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2027 kepada lima agensi penguatkuasaan akan memperkukuh hasil negara dan membanteras ketirisan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, peruntukan itu mencerminkan sokongan berterusan Kerajaan Madani terhadap agensi penguatkuasaan dan akan meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam membanteras penyeludupan, mengekang ketirisan hasil dan melindungi kepentingan ekonomi negara.

Menurutnya, JKDM menyokong dasar, hala tuju dan inisiatif ekonomi yang digariskan dalam Belanjawan 2027 bagi memelihara kestabilan ekonomi serta membanteras ketirisan hasil negara.

“Bagi menjamin kestabilan ekonomi peniaga tempatan, JKDM mempergiat penguatkuasaan ke atas premis perniagaan warga asing yang tidak mematuhi undang-undang dan terlibat dalam penyelewengan cukai.

“Tindakan itu dilakukan melalui operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Pasukan Petugas Khas Kementerian Kewangan di samping operasi berasingan yang dilaksanakan JKDM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak Julai dan Ogos lalu, JKDM merampas sebanyak 429,526 batang rokok dan 7,773.93 liter minuman keras dengan nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM715,695.26.

Seramai 23 individu turut ditahan bagi membantu siasatan dalam operasi tersebut yang dijalankan di sekitar Lembah Klang dan Johor.

“Operasi ini mencerminkan usaha berterusan JKDM dalam melindungi hasil negara dan meningkatkan pematuhan terhadap undang-undang.

“JKDM turut menyokong usaha Kerajaan Madani untuk meringankan beban rakyat dan mengurangkan kos perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, JKDM menyambut baik pemberian pengecualian duti dan cukai kepada masyarakat, pemain industri serta peniaga seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027 bagi merangsang aktiviti ekonomi.

JKDM turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman Bantuan Khas sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam yang mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan tersebut.

”Bantuan Khas ini akan menjadi dorongan kepada warga jabatan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion kepada JKDM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia bagi memperkukuh keupayaan operasi. – KOSMO! ONLINE

The post Kastam rampas rokok, minuman keras lebih RM700,000 dalam dua bulan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved