
KDN Mulakan Proses Tapisan 5,000 Pelarian Rohingya Sebelum Dihantar Pulang Ke Myanmar
BUKIT KAYU HITAM, 30 Julai (Bernama) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap pelarian Rohingya sebagai persediaan bagi penghantaran pulang 5,000 warga Myanmar itu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini susulan keputusan kerajaan negara itu yang bersetuju menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia.
Beliau berkata proses itu dilaksanakan menerusi Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, dengan KDN bertindak sebagai agensi peneraju bersama beberapa agensi kawal selia berkaitan.
“Proses DPP itu melibatkan beberapa peringkat termasuk mengesan, mengenal pasti, menjalankan tapisan keselamatan serta menentukan status setiap individu sebelum dokumen pengesahan status dikeluarkan.
“Tapisan akan dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia. Pada akhir proses itu, seseorang individu akan diberikan keputusan mengenai status pelariannya dan dokumen akan dikeluarkan bagi mengesahkan status tersebut selepas melalui proses berkenaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga, di sini.
Saifuddin Nasution berkata komitmen awal yang dipersetujui bersama Myanmar adalah untuk menerima kembali 5,000 orang, namun proses mengenal pasti individu yang termasuk dalam jumlah berkenaan perlu dilakukan secara teratur bagi memastikan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Beliau berkata ketika ini terdapat kira-kira 22,000 penghuni di 19 depot imigresen seluruh negara, dengan sekitar 4,000 daripadanya dikenal pasti sebagai warga Myanmar.
“Daripada jumlah itu, kita telah mengenal pasti 4,000 orang dari Myanmar. Mereka inilah yang akan menjalani proses tapisan dan akan ditempatkan di satu depot, bukannya berselerak di 19 depot, bagi memudahkan proses yang sedang kita jalankan,” katanya.
Beliau berkata penempatan di satu lokasi khusus itu bertujuan melancarkan urusan dokumentasi, semakan keselamatan serta penyelarasan antara agensi terlibat.
Baca juga:Saifuddin Nasution berkata proses berkenaan kini sedang berjalan dan bukan lagi di peringkat perancangan, manakala urusan berkaitan perbincangan dengan kerajaan Myanmar selepas proses itu selesai akan diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan antara kedua-dua negara.






