KDN kenal pasti 5,000 pelarian Myanmar untuk dihantar pulang

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 3:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KDN kenal pasti 5,000 pelarian Myanmar untuk dihantar pulang

BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang mengenal pasti dan menapis pelarian Myanmar di negara ini menerusi proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi menghantar pulang 5,000 warganegara itu ke negara mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu susulan persetujuan kerajaan Myanmar untuk menerima semula rakyatnya yang berada di luar negara dan berstatus pelarian.

Katanya, persetujuan tersebut adalah hasil inisiatif yang digerakkan Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN tahun lalu menerusi perbincangan bersama kerajaan Myanmar.

“Kerajaan Myanmar telah menyatakan persetujuan dan komitmen untuk menerima semula rakyatnya yang berada di luar Myanmar dan berstatus pelarian. Selain itu, kerajaan Myanmar juga bersetuju untuk mengambil sejumlah rakyatnya yang berada di kem Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Di Malaysia, komitmen awal mereka (kerajaan Myanmar) adalah untuk menerima kembali 5,000 rakyatnya,” katanya pada sidang akhbar sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat, Kedah Sejahtera yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di Felda Bukit Tangga, di sini hari ini.

Saifuddin berkata, KDN yang diberi tanggungjawab sebagai agensi peneraju di bawah Arahan No. 23 Majlis Keselamatan Negara (MKN) kini melaksanakan proses DPP bagi mengenal pasti, mengesan dan menapis individu terlibat.

Katanya, proses itu turut melibatkan semakan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen sebelum individu berkenaan diberikan dokumen pengesahan status.

“Selepas proses ini selesai, barulah kita akan melengkapkan kuota 5,000 orang itu sebelum perbincangan lanjut dibuat bersama Kementerian Luar Negeri dan kerajaan Myanmar,” ujarnya.

Menurut beliau, proses berkenaan telah dimulakan dengan memberi tumpuan kepada warga Myanmar yang ditempatkan di depot imigresen.

“Daripada kira-kira 22,000 penghuni di 19 depot imigresen di seluruh negara ketika ini, kita telah mengenal pasti sekitar 4,000 warga Myanmar untuk melalui proses tapisan.

“Mereka akan ditempatkan di satu depot khusus bagi memudahkan urusan dokumentasi dan semakan keselamatan dilakukan,” katanya.

Tambahnya, selepas proses di bawah KDN selesai, tindakan susulan berkaitan penghantaran pulang akan diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri bersama kerajaan Myanmar.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seramai 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan dihantar pulang ke Myanmar hasil rundingan dan hubungan baik antara kedua-dua negara. – KOSMO! ONLINE

The post KDN kenal pasti 5,000 pelarian Myanmar untuk dihantar pulang appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved