KDN sahkan pasport menantu Muhyiddin sudah dibatalkan, nama dalam senarai Interpol

LocalPolitics
23 Oct 2025 • 4:17 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa pasport antarabangsa milik menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia selepas menerima permohonan rasmi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasport antarabangsa menantu Muhyiddin telah dibatalkan

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Saifuddin menyatakan tindakan pembatalan itu dibuat mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan.

“Saya telah difahamkan oleh Jabatan Imigresen bahawa SPRM pernah mengangkat permohonan untuk membatalkan pasport dan hal itu telah pun dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan itu saya boleh sahkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Himpunan Bulanan KDN hari ini.

image is not available

KDN dapatkan maklumat tentang menantu Muhyiddin

Beliau berkata demikian susulan laporan bahawa Muhammad Adlan, yang kini dikehendaki SPRM berhubung kes pecah amanah, dilaporkan menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Saifuddin memaklumkan lagi pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan dan membawa pulang individu berkenaan.

“Kalau individu tersebut dikehendaki untuk tujuan siasatan oleh SPRM, maka bagaimana dua agensi di bawah KDN boleh fasilitasi untuk membawa dia pulang, itu keutamaan kami,” katanya.

image is not available

Dimasukkan dalam senarai Interpol

Mengulas lanjut, Saifuddin turut mengesahkan bahawa nama Muhammad Adlan telah dimasukkan dalam senarai Interpol seperti dimaklumkan sebelum ini oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain.

image is not available

Terdahulu, laporan media tempatan mendakwa Muhammad Adlan kini menetap di Asia Barat dan hidup mewah, malah beberapa gambar menunjukkan beliau bersama beberapa kenamaan dari rantau tersebut.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)