KDNK lepasi 5 peratus, Malaysia catat antara prestasi ekonomi terbaik – PMX

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 2:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KDNK lepasi 5 peratus, Malaysia catat antara prestasi ekonomi terbaik – PMX

PETALING JAYA – Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 dilihat membawa pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini kepada 5.6 peratus berbanding 4.8 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu sekali gus meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk mencatat pertumbuhan melebihi 5 peratus bagi tahun ketiga berturut-turut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah proaktif Kerajaan Madani memelihara kestabilan ekonomi dan menjamin bekalan bahan api susulan krisis Asia Barat membantu Malaysia mengekalkan pertumbuhan kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luar.

“Tindakan berani kerajaan dalam menghadapi krisis Asia Barat yang didukung oleh reformasi dilaksanakan di bawah Ekonomi Madani telah memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

“Walhasil, Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba,” katanya dalam kenyataan di sini tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, namun, segala pencapaian ini tidak membawa erti sekiranya kekal alpa akan usaha menaikkan lantai demi kesejahteraan rakyat terbanyak.

“Melalui Belanjawan 2027, kerajaan memperkukuh bantuan, mengurangkan kadar cukai pendapatan individu bagi golongan layak serta menambah baik perkhidmatan awam.

“Kita tidak akan lelah memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup dan peluang yang lebih luas untuk rakyat,” jelasnya.

Dalam konteks ini, pertumbuhan menyeluruh itu disokong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan, dengan peningkatan 4.8 peratus.

Eksport melonjak 46 peratus pada suku ketiga tahun ini, dipacu oleh permintaan yang memberangsangkan terhadap produk elektrik dan elektronik (6.2 peratus) seiring dengan kitaran pertumbuhan industri teknologi global.

Pada September 2026, Malaysia mencatat nilai eksport bulanan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM215.1 bilion, sekali gus melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali.

Kementerian Kewangan berkata, prestasi ekonomi yang kukuh ini turut diiringi perkembangan positif dalam pasaran buruh,
dengan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada September 2026, berbanding 3 peratus pada bulan yang sama tahun lalu.

Katanya, inflasi pula pada September 2026 pula kekal terkawal pada 1.8 peratus.

“Melangkah ke 2027, kerajaan kekal optimis terhadap prospek ekonomi negara, namun terus berwaspada terhadap ketegangan geopolitik dan risiko berkaitan iklim yang
membayangi ekonomi global.

“Belanjawan 2027 meneruskan usaha Belanjawan Madani terdahulu untuk menaikkan siling melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, peningkatan pelaburan dan pembangunan prasarana selain mengekalkan disiplin fiskal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post KDNK lepasi 5 peratus, Malaysia catat antara prestasi ekonomi terbaik – PMX appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved