Ke arah data hartanah yang telus: Timbalan Ketua Menteri II

30 Aug 2025 • 3:02 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri akan bekerjasama rapat dengan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) bagi memperkukuhkan ketelusan data dalam pembangunan hartanah.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata kerjasama penting itu perlu untuk memastikan tiada lambakan di pasaran.

Katanya, dengan adanya data yang telus, ia akan membantu pembangunan hartanah menyeimbangkan penawaran dan permintaan dalam pasaran perumahan.

“Tahniah kepada Shareda kerana berjaya menganjurkan Pameran Hartanah Tahunan (PropEX) 2025 dengan sangat baik. Walaupun jualan hartanah sepanjang acara ini memberangsangkan kebimbangan saya adalah berhubung kemungkinan berlakunya lambakan dalam pasaran hartanah Sabah.

“Sebab itu kita bercakap tentang data besar (big data) di mana Kementerian akan berusaha menyalurkan data berkaitan hartanah kepada Shareda.

“Dengan adanya data yang tepat pemaju boleh merancang dan kita boleh memantau keadaan dengan lebih berkesan serta mungkin dapat mengelakkan lambakan,” katanya.

Dr Joachim berkata demikian kepada pemberita selepas penutupan PropEX ke-47, 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr Jamili Nais, Presiden Shareda Datuk Johnny Wong Chen Yee, Timbalan Presiden Benny Ng Su Pei, Bekas Presiden Datuk Sr Chua Soon Ping, Penasihat Kehormat merangkap Bekas Presiden Datuk Susan Wong Siew Guen serta Pengerusi Penganjur PropEX 2025 Jonathan Wong Kar Gee.

Pada masa sama, Presiden Shareda Datuk Johnny Wong berkata penyaluran data besar berkaitan pembangunan hartanah kepada pemaju amat penting bagi menyeimbangkan penawaran dan permintaan serta mengelakkan kawasan tertentu daripada dipenuhi dengan terlalu banyak kediaman seperti kondominium dan rumah bertanah.

Dr Joachim berkata dengan adanya data besar, kementerian juga dapat memantau trend semasa pembangunan hartanah dan aspek ekonomi negeri secara keseluruhannya dengan lebih mudah.

“Kita tidak mahu berlakunya lambakan apabila lebihan bekalan menyebabkan bangunan tidak dapat dijual kepada pembeli. Inilah sebenarnya idea utama. Oleh itu, kita perlu telus (dalam penyediaan data) untuk membantu pembangunan hartanah di Sabah berkembang lebih baik dalam pasaran,” katanya.

Mengenai sama ada kementerian sudah mula berkongsi data berkenaan, Dr Joachim berkata mereka sedang berusaha sebaik mungkin kerana sebelum ini data masih dilakukan secara manual.

Namun kini, katanya, kementerian sedang dalam proses mendigitalkan data berkaitan hartanah serta sistem permohonan, yang akan membolehkan pemantauan lebih baik terhadap rancangan pembangunan dan trend pasaran.

Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Jamili Nais berkata inisiatif pendigitalan sedang berjalan yang meliputi semua permohonan permit perumahan termasuk yang masih tertunggak, sekali gus menjadikan keseluruhan proses lebih telus.

“Lebih penting lagi, usaha data besar ini akan membolehkan semua pihak melihat di mana rumah sedang dibina dan dirancang, supaya isu permintaan dan lebihan bekalan dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Dr Joachim turut mengingatkan pemaju supaya turut menyertakan nilai hartanah mereka ketika mengemukakan rancangan pembangunan (DP) kepada pihak berkuasa tempatan untuk kelulusan.

“Kita tidak tahu bagaimana untuk menilai kerana itu juga boleh menjadi sebahagian daripada corak ekonomi negeri. Jadi mungkin selepas ini, apabila memohon kelulusan DP, sila sertakan juga nilainya,” katanya.

Sehubungan itu, Johnny berkata, Shareda mengadakan mesyuarat bagi membincangkannya dan perkara itu sedang berjalan.

“Adalah sangat penting kita bekerjasama untuk memastikan keseimbangan yang sihat dalam sektor hartanah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Dr Joachim menambah kementeriannya komited mengetatkan peraturan dengan cara yang lebih telus dan mesra pengguna, sambil memudahkan proses kepada pemaju.

Katanya kementerian akan terus bekerjasama dengan Shareda dan pemaju lain khususnya dalam usaha menjadikan peraturan lebih telus dan mesra pengguna.