Keadaan Memuaskan, Tun M Dibenar Pulang Untuk ‘Home Leave’

LocalHealth & Fitness
6 Feb 2026 • 4:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Selepas sebulan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN), mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya dibenarkan pulang untuk home leave sejak dua hari lalu.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata, Dr Mahathir dibenarkan pulang dan tidur di kediamannya di The Mines sejak 4 Februari lalu.

Menurut beliau, negarawan berusia 100 tahun itu bagaimanapun masih dikehendaki hadir di IJN pada waktu siang, bagi meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.

“Setakat ini, pasukan perubatan di IJN berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas Dr. Mahathir terhadap langkah-langkah perubatan dan fisioterapi.

“Walaupun dibenar pulang ke rumah secara berperingkat Dr. Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN,” katanya.

Jelas Sufi, Dr. Mahathir juga dinasihatkan untuk masih tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini.

“Dr. Mahathir, isteri serta keluarga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bertanyakan tentang keadaan kesihatan beliau dan yang mendoakan kesihatan serta kesejahteraan beliau,” katanya.

Dr Mahathir yang turut dikenali sebagai Tun M dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu bagi merawat tulang pinggul kanan yang patah selepas terjatuh di kediamannya. - Getaran, 6 Februari 2026