Keane dakwa Lammens punca United bergelut

FootballSports
30 Oct 2026 • 11:01 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keane dakwa Lammens punca United bergelut
Lammens

LEGENDA Manchester United, Roy Keane menyifatkan kemerosotan prestasi penjaga gol, Senne Lammens sebagai antara faktor yang menyumbang kepada masalah dihadapi kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketika ini.

Lammens sebelum ini mendapat pujian selepas mempamerkan aksi meyakinkan pada musim pertamanya di Old Trafford susulan perpindahan dari Royal Antwerp pada musim panas 2025.

Prestasi konsisten Lammens pada musim lalu turut membantu United melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dan mendapat pujian daripada bekas pengurus legenda kelab itu, Sir Alex Ferguson.

Bagaimanapun, situasi berbeza mula dirasai penjaga gol Belgium tersebut musim ini apabila United sudah melepaskan 13 gol dalam lapan perlawanan EPL sekali gus merekodkan jumlah bolos ketujuh tertinggi dalam liga.

Malah, Lammens turut dibolosi enam kali dalam dua aksi terakhir Liga Juara-Juara sebelum United mengalami kekalahan memalukan 3-0 di laman sendiri kepada Bournemouth pada hujung minggu lalu.

Situasi itu mengundang kritikan Keane yang berpendapat penjaga gol berkenaan perlu turut bertanggungjawab terhadap prestasi tidak menentu The Red Devils ketika ini selain memberi tekanan kepada pengendali Michael Carrick.

"Jika kita bercakap mengenai Manchester United, penjaga gol mereka sedang merugikan pasukan, bukankah begitu? Dia bermain dengan sangat baik musim lalu," katanya menerusi program The Overlap.

Keane bukan satu-satunya legenda United yang mempersoalkan kemampuan Lammens apabila Paul Scholes sebelum ini turut menyuarakan keraguan sama ada penjaga gol itu benar-benar memiliki kualiti untuk menjadi pilihan utama kelab.

Scholes menegaskan bahawa pasukan yang mahu menjulang kejuaraan EPL memerlukan penjaga gol bertaraf dunia dengan menjadikan Alisson Becker di Liverpool, David Raya di Arsenal serta penjaga gol Manchester City sebagai contoh.

Sementara itu, Lammens sebelum ini mengakui perlu memiliki kekuatan mental dan keyakinan diri untuk berdepan tekanan beraksi bersama kelab sebesar Manchester United.

Menurutnya, kritikan daripada pelbagai pihak adalah sebahagian daripada cabaran yang perlu dihadapi sebagai pemain di kelab berprofil tinggi.

"Saya tidak mengubah perwatakan hanya kerana bermain untuk Manchester United. Anda perlu kuat dari segi mental dan yakin dengan diri sendiri ketika berdepan pandangan serta kritikan orang ramai," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved