![Image from: Kebakaran Di Sandakan: “Saya Tidak Nampak…” – Lelaki Tular Maki Bomba Mohon Maaf, Akui Kesal [Video]](https://buzzkini.my/wp-content/uploads/2026/04/mangsa-kebakaran-mohon-maaf.jpg)
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Insiden kebakaran yang menimpa Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah pada 19 April lalu nyata mendapat perhatian ramai.
Manakan tidak, hampir 8,000 penduduk terjejas apabila 1,000 penempatan di atas air itu musnah dijilat api.
Insiden yang menyayat hati itu nyata mendapat perhatian hingga ramai bersimpati dengan nasib penduduk kampung berkenaan.
Tular Video Pemuda Keluarkan Kata-Kata Kesat Kepada Bomba Ketika Operasi Menyelamat
Dalam pada ramai yang bersedih, tular di media sosial video seorang pemuda mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pasukan Bomba & Penyelamat ketika operasi menyelamat dilakukan.
Menerusi video tular, kedengaran pemuda berkenaan dipercayai mengeluarkan kata-kata makian seperti ‘jahanam’ dan menyamakan Bomba dengan Israel.
Selain itu, tular video yang menunjukkan segelintir penduduk kampung terbabit menghalau Bomba yang tiba di lokasi kejadian.
Lelaki Maki Bomba Mohon Maaf, Akui Tidak Dapat Kawal Emosi
Terbaharu, lelaki tular yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bomba tampil membuat permohonan maaf.
Dalam video yang dikongsikan semula di Facebook, lelaki yang dikenali sebagai Rozaizar Rozainie yang juga merupakan mangsa kebakaran memohon maaf kepada bomba atas keterlanjuran kata-kata yang dikeluarkan pada tempoh hari.
Jelasnya, dia mengakui tidak dapat mengawal emosi hingga menyebabkan dirinya mengeluarkan kata-kata kesat.
“Saya mohon maaf, saya menarik balik perkataan saya. Saya faham keadaan bomba yang begitu bertungkus lumus bantu mengawal kebakaran.
“Yang sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat di Sandakan, bomba yang banyak membantu dan banyak berkorban untuk membantu (memadam) kebakaran ini.
“Saya mohon maaf dan menarik perkataan yang saya lontarkan,” katanya.
Berada Dalam Keadaan Tertekan Ketika Suasana Dalam Keadaan Kelam Kabut
Memetik Harian Metro, Rozaizar yang berusia 39 tahun itu menjelaskan dia pada ketika itu berada dalam keadaan tertekan apatah lagi suasana berada dalam keadaan kelam kabut termasuk kanak-kanak yang panik sewaktu api sedang marak.
“Emosi saya ketika itu betul-betul terkilan sebab saya tengok budak-budak berlarian dan tidak tahu arah yang hendak dituju apabila api merebak sampai ke kawasan ini.
“Jadi, saya pun tidak perasan telah mengeluarkan kata-kata yang kesat,” katanya.
Malah, Rozaizar turut mengakui dia tidak melihat sepenuhnya usaha bomba yang pada ketika itu sedang melakukan operasi pemadaman api.
“Saya tidak nampak secara menyeluruh, rupa-rupanya mereka (pasukan bomba) di belakang membantu memadamkan api,” jelasnya lagi.
Mohon Orang Ramai Tidak Perbesarkan Isu, Minta Faham Situasi Yang Sedang Dihadapi
Menerusi video itu juga, Rozaizar menjelaskan dia menerima segala kecaman dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya susulan isu tular itu.
Namun, dia memohon agar orang ramai tidak lagi memperbesarkan isu terbabit dan memahami situasi semasa mereka yang sedang dilanda musibah.
Sebelum ini, Bomba memaklumkan operasi pemadaman di Kampung Bahagia berhadapan dengan cabaran seperti laluan sempit, ketiadaan pili bomba serta keadaan angin kencang yang menyebabkan api merebak dengan cepat.
Menurut Ketua Kampung Bahagia, Sharif Hashim, kebakaran itu dipercayai berpunca akibat kecuaian seorang penduduk yang meninggalkan masakan di dapur hingga api marak.
“Saya difahamkan, kebakaran berpunca daripada salah seorang penduduk yang sedang memasak namun meninggalkan dapur seketika.
“Apabila dia kembali, masakan itu sudah kering dan api mula marak. Dia cuba memadamkan api menggunakan kain tetapi kain itu pula terbakar. Kemudian dia cuba menggunakan kayu tapi api semakin besar dan merebak dengan cepat,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Anggota Bomba Terkedu, Terima Panggilan Kes Kebakaran Sekali Sampai Apinya Kecil [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Ingatkan Gas Bocor, Bomba Datang Rumah Selepas Rakyat Malaysia Makan Durian Dalam Apartmen Di Paris [Video]






