KOTA TINGGI - Kebakaran hutan belukar berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pengerang sejak dua hari lalu menjejaskan penduduk sehingga ada yang mengambil keputusan untuk berpindah sementara.
Tinjauan di lokasi mendapati kawasan sekitar PPR berkenaan masih diliputi asap putih selain bau asap yang kuat.
Penduduk, Nor Diana Abdul Aziz, 60, berkata, walaupun semua tingkap rumah telah ditutup, habuk dan asap masih memasuki kediaman di tingkat satu PPR berkenaan.
“Kami sekeluarga ambil keputusan berpindah sementara ke rumah keluarga di Kampung Tersusun Punggai sejak petang Selasa.
"Hari pertama kebakaran memang agak teruk, saya takut semput sebab umur pun dah meningkat," katanya ketika ditemui pada Khamis.
**media[3472761]**Nor Diana memberitahu kejadian kebakaran hutan itu merupakan pengalaman pertama buat dirinya sepanjang menetap di PPR Seri Pengerang sejak Ogos tahun lalu.
“Rumah di PPR sekarang pun belum penuh didiami penduduk. Anak-anak nasihat tidak pulang ke PPR buat masa ini sehingga keadaan benar-benar pulih.
"Saya harap keadaan pulih sepenuhnya minggu depan supaya kami boleh kembali semula ke PPR,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrodin berkata, kebakaran melibatkan kawasan berhampiran PPR itu berkeluasan 10 hektar telah berjaya dipadamkan kira-kira 50 peratus.
"Kini berbaki sekitar 5.3 hektar belum dipadamkan. Kebakaran melibatkan tanah jenis gambut yang sukar dipadam kerana api berada di bawah permukaan.
"Penggunaan dron turut membantu pasukan bomba mengenal pasti kawasan panas bagi mempercepatkan operasi pemadaman.
"Bagaimanapun, kami berdepan beberapa kekangan termasuk faktor angin kuat, cuaca panas serta keadaan tanah lembut yang menyukarkan pergerakan jentera berat," katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai pada Khamis.
Jelas Ezam, helikopter akan digunakan bagi melakukan kaedah ‘water bombing’ pada Jumaat.
“Helikopter ini akan membantu memadamkan kebakaran ke kawasan sukar dimasuki anggota. Operasi akan dimulakan di kawasan kebakaran di Lebuhraya Bypass Punggai dahulu yang berbaki 25 hektar belum dipadam daripada 150 hektar yang terbakar sejak enam hari lalu.
"Setelah selesai kita akan fokus sepenuhnya kepada kebakaran hutan belukar berhampiran PPR pula dan dijangka operasi pemadaman ini boleh diselesaikan dalam tempoh tiga hari," katanya.
