Kebakaran hutan berhampiran perumahan di Sepang berjaya dikawal

LocalEnvironment
9 Jul 2026 • 9:46 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kebakaran hutan berhampiran perumahan di Sepang berjaya dikawal

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kebakaran hutan berhampiran kawasan perumahan di Tiara Heights, Desa Salak Harmoni di Sepang berjaya dikawal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA dan BBP Sepang dikejarkan ke lokasi.

“Jentera tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan berhampiran penempatan penduduk dengan keluasan yang dianggarkan dua ekar.

“Api berjaya dikawal pada jam 6.51 petang dan kerja-kerja pemadaman serta pemantauan masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan semula api,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi membabitkan seramai 18 anggota dengan lima jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah Water Tanker dari BBP KLIA selain sebuah FRT dan sebuah EMRS dari BBP Sepang.

Menurut Ashrul Riezal, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu manakala pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran selain memastikan kawasan terlibat berada dalam keadaan selamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved