
JAKARTA: Kebakaran hutan terus merebak di kawasan Taman Nasional Gunung Gede di Jawa Barat, ketika pihak berkuasa turut bertungkus-lumus memadam kebakaran di Taman Nasional Gunung Bromo di Jawa Timur.
Di kawasan Kawah Wadon, sebanyak 142 anggota penyelamat, tentera, polis, Badan Tindakan Bencana Daerah (BPBD), pasukan bomba serta sukarelawan dikerahkan bagi menangani kebakaran tersebut.
Di Jawa Timur pula, pihak berkuasa berusaha mengawal kebakaran di Taman Nasional Gunung Bromo yang memusnahkan sekurang-kurangnya 127 hektar kawasan itu.
Pegawai bomba, Bambang Setyo Antoko berkata, pihak berkuasa mengerahkan dua helikopter yang membawa air untuk memadamkan kebakaran yang bermula pada Isnin berhampiran Gunung Bromo.
Kawasan yang terbakar itu bersamaan kira-kira 180 padang bola sepak. Kebanyakannya dilaporkan terletak di kawasan curam berhampiran tebing, menyebabkan anggota bomba sukar untuk sampai ke lokasi.
Pasukan dikerahkan melalui laluan Gunung Putri dan Cibodas untuk meninjau lokasi serta menjalankan operasimemadam api yang marak.
Setiausaha BPBD Cianjur, Asep Sudrajat berkata, keadaan api pada petang Jumaat mula terkawal, namun pemantauan masih dijalankan bagi mengesan kemungkinan kemunculan semula titik panas dan kebakaran baharu.
Video kebakaran yang menunjukkan api marak dan kepulan asap di kawasan berumput tersebar luas melalui aplikasi pesanan dan media sosial sejak Khamis.
Susulan kejadian itu, pegawai di Gunung Gede menutup sementara semua aktiviti pendakian sehingga 11 Ogos bagi menjamin keselamatan pendaki, pengunjung, penduduk dan penggiat aktiviti luar, selain membolehkan usaha menangani kebakaran dijalankan.
Punca kebakaran masih belum diketahui, namun kawasan taman negara itu dilaporkan sangat kering ketika keadaan El Nino terus melanda Indonesia.-AGENSI/AFP
The post Kebakaran hutan Indonesia seluas 180 padang bola sepak appeared first on Utusan Malaysia.


