
JAKARTA – Beratus-ratus petugas berterusan menyejukkan tanah gambut yang terbakar dan memusnahkan 305 rumah serta 50 bangunan burung walet di Dusun Serdang, wilayah Bangka Belitung, lapor akhbar Kompas.
Setakat semalam, beberapa bantuan telah diagihkan kepada penduduk yang terjejas.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Bangka Belitung, Pesuruhjaya Agus Sugiyarso berkata, proses penyejukan tanah gambut memerlukan pengendalian tambahan dan masa yang lebih lama.
Ciri tanah gambut yang mempunyai rongga di bawah permukaan memerlukan ia diisi dengan air.
“Kebakaran besar ini berjaya dipadamkan awal pagi semalam. Bagaimanapun, beratus-ratus petugas gabungan masih menyejukkan kawasan terjejas terutamanya di lokasi tanah gambut,” kata Agus.
Kebakaran dahsyat itu berlaku sekitar pukul 4.30 petang (waktu tempatan), Sabtu lepas yang bermula daripada titik panas di kawasan tanah gambut.
Api merebak pantas ke kawasan perumahan yang padat dengan penduduk berikutan angin kencang. Keadaan menjadi lebih buruk kerana kebanyakan rumah dibina daripada kayu atau bahan mudah terbakar lain, manakala jarak antara bangunan pula adalah sangat dekat.
Kebakaran di kawasan seluas kira-kira 8.3 hektar itu mengakibatkan kerugian harta benda yang amat besar kepada masyarakat.
Sebanyak 305 kediaman dan 50 bangunan burung walet musnah dengan anggaran nilai kerugian mencecah 2 bilion rupiah (RM460,000). Walaupun tiada kemalangan jiwa, bencana itu menjejaskan kehidupan kira-kira 400 keluarga atau sekitar 1,600 orang yang hilang tempat tinggal dan harta benda.
Majoriti penduduk terjejas memilih untuk berpindah ke rumah saudara-mara berdekatan demi keselesaan. Namun, kira-kira 50 penduduk ditempatkan di dua pusat perlindungan sementara tidak jauh dari kawasan terjejas termasuk sebuah masjid.
Pemangku ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Agus Afandi berkata, bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang, BPBD bersama agensi berkaitan aktif mendidik orang ramai supaya tidak membersihkan tanah gambut dengan cara membakar, mengelakkan pembakaran sampah tanpa pengawasan atau membuang puntung rokok merata-rata.
Menurutnya, kejadian kebakaran hutan dan tanah gambut d Bangka Belitung kerap berpunca daripada perbuatan manusia. – AGENSI
The post Kebakaran hutan makin buruk, kampung di Indonesia hangus appeared first on Kosmo Online.


