Kebakaran hutan merebak di Washington, ribuan diarah berpindah

WorldEnvironment
2 Aug 2026 • 5:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kebakaran hutan merebak di Washington, ribuan diarah berpindah

WASHINGTON: Kebakaran hutan yang merebak dengan pantas menghampiri bandar Spokane di Amerika Syarikat (AS), memaksa ribuan penduduk berpindah selepas negeri Washington mengisytiharkan darurat susulan musim kebakaran yang disifatkan antara terburuk dalam rekod.

Lebih 80,900 hektar kawasan terbakar di seluruh negeri di barat laut AS itu ketika Washington berdepan kemarau di seluruh negeri untuk tahun keempat berturut-turut, yang turut mencatat satu rekod baharu.

“Kemarau yang memecahkan rekod dan angin kencang mewujudkan keadaan berbahaya di seluruh negeri,” kata Gabenor Bob Ferguson dalam satu kenyataan sambil menambah kebanyakan aktiviti pembakaran terbuka dan pembakaran pertanian dilarang sehingga penghujung September.

Kebakaran yang dinamakan Old Trails dilaporkan merentasi Sungai Spokane pada petang Sabtu sebelum merebak ke bandar itu, menurut akhbar The Spokesman-Review.

“Tahun ini sudah menjadi antara musim paling mencabar bagi kebakaran hutan dalam rekod, sedangkan kita baru sahaja memasuki bulan Ogos,” kata Pesuruhjaya Tanah Awam, Dave Upthegrove.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran pemindahan pada tahap tertinggi yang mengarahkan penduduk supaya keluar segera dari kediaman mereka. Arahan itu melibatkan kawasan luas di utara Spokane yang menjejaskan ribuan penduduk di dalam kawasan bandar, menurut peta pemindahan kerajaan.

Kebakaran itu merebak meliputi lebih 1,416 hektar menjelang 8.20 malam (waktu tempatan), menurut The Spokesman-Review. Pihak berkuasa bandar tidak melaporkan sebarang kecederaan.

“Apabila matahari terbenam dan terbit semula, kita akan benar-benar terkejut,” kata Mejar Jeneral Gent Welsh dalam sidang media.

Pihak berkuasa kecemasan membuka pusat perlindungan pemindahan kebakaran di Pusat Konvensyen Spokane.

Terdahulu pada hari sama, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan amaran merah bagi situasi yang amat berbahaya, sambil menyifatkan risiko cuaca sebagai ekstrem di seluruh timur Washington.

Pengawal Kebangsaan Washington memaklumkan di platform X pihaknya sedang menggerakkan unit dengan pantas bagi membantu operasi di Spokane.-AFP

The post Kebakaran hutan merebak di Washington, ribuan diarah berpindah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved