Kebakaran Hutan: Orang Utan, Anak Berjaya Diselamat 

WorldEnvironment
5 Sep 2026 • 9:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kebakaran Hutan: Orang Utan, Anak Berjaya Diselamat 

KALIMANTAN BARAT - Seekor orang utan betina bersama anaknya diselamatkan selepas kebakaran hutan merebak menghampiri habitat mamalia itu di Kalimantan Barat, Indonesia.

Operasi menyelamat itu turut mendedahkan kesan buruk kebakaran terhadap hidupan liar, khususnya apabila kemusnahan hutan menyebabkan haiwan kehilangan sumber makanan serta tempat perlindungan.

Kedua-dua orang utan berkenaan dipindahkan ke pusat penyelamatan dan pemulihan yang dikendalikan Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) pada 3 September.

Menurut YIARI, pasangan ibu dan anak itu telah dipantau sejak Julai selepas dikesan berada di kawasan ladang berhampiran hutan.

Agensi Pemuliharaan Sumber Asli Kalimantan Barat berkata, pemeriksaan kesihatan awal mendapati kedua-dua haiwan berkenaan tidak mengalami kecederaan akibat terbakar.

Bagaimanapun, keadaan keduanya terus dipantau rapi oleh pasukan veterinar, terutama kerana pendedahan berpanjangan kepada asap kebakaran boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan.

Doktor veterinar YIARI, Komara, berkata risiko terhadap sistem pernafasan menjadi lebih tinggi apabila kepekatan asap di habitat haiwan itu berada pada tahap yang tinggi.

“Pendedahan kepada asap dalam tempoh yang panjang boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan, khususnya apabila kepekatan asap di habitat mereka sangat tinggi,” katanya seperti dipetik AFP dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kedua-dua orang utan itu akan terus dipantau sepanjang berada di pusat penyelamatan dan pemulihan berkenaan.

Pengarah Operasi YIARI, Argitoe Ranting, berkata operasi terbaru itu menjadikan jumlah orang utan yang telah dipindahkan akibat ancaman kebakaran di daerah Ketapang kepada sembilan ekor dalam tempoh kurang sebulan.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan kebakaran hutan bukan sahaja memusnahkan kawasan hutan, malah turut merampas sumber makanan dan tempat perlindungan haiwan liar.

“Kebakaran bukan sahaja memusnahkan hutan, tetapi turut menyebabkan haiwan kehilangan tempat berlindung dan sumber makanan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan haiwan liar mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk berpindah apabila habitat didiami mula musnah akibat kebakaran.

Operasi menyelamat itu berlaku ketika Indonesia berdepan kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian kawasan Borneo dan Sumatera dengan asap tebal.

Jerebu akibat kebakaran berkenaan turut menjejaskan kualiti udara di beberapa negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Filipina.

Dalam perkembangan berkaitan, agensi pemuliharaan itu memaklumkan seekor orang utan yang diselamatkan minggu lalu telah mati.

Bedah siasat mendapati pendedahan kepada asap dipercayai menjadi punca kematian haiwan berkenaan.

Rentetan kejadian terbaru itu sekali lagi menonjolkan ancaman serius yang dihadapi populasi orang utan Indonesia yang kini berada dalam kategori terancam.

Kemusnahan hutan akibat kebakaran bukan sahaja mengurangkan keluasan habitat semula jadi spesies berkenaan, malah menjadikan kawasan yang masih terselamat semakin berbahaya untuk didiami. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved