
JAKARTA – Kebakaran hutan yang melanda kumpulan gunung berapi dikenali sebagai Kawah Ijen di wilayah Jawa Timur dilaporkan menghampiri laluan pendakian utama, lapor laman berita kumparan
Berikutan situasi membimbangkan itu, pihak berkuasa menutup secara rasmi laluan masuk ke Taman Wisata Alam (TWA) Kawah Ijen buat sementara waktu bagi sebarang aktiviti pendakian bermula semalam.
Kawah itu terkenal dengan fenomena Api Biru Kawah Ijen.
Kebakaran hutan kini memasuki kawasan TWA Kawah Ijen, khususnya di sekitar Pondok Bunder.
Tiupan angin kencang di lokasi kejadian mengakibatkan api marak dengan cepat dan merebak ke kawasan sekitarnya.
Ketua TWA Kawah Ijen, Rusdi Santoso mengesahkan keadaan darurat tersebut dan berkata, api memusnahkan beberapa kemudahan di kawasan Pondok Bunder sebelum berjaya dikawal pasukan petugas gabungan.
“Buat masa ini, kebakaran di laluan pendakian sekitar Pondok Bunder telah berjaya dipadamkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam (BBKSDA) Jawa Timur, Nur Patria Murniawan menjelaskan bahawa penutupan dilakukan demi mengutamakan keselamatan pelancong dan penduduk setempat.
Beliau turut menasihati orang ramai dan pelancong asing agar tidak menghampiri kawasan pergunungan tersebut sepanjang tempoh penutupan, serta sentiasa mengikuti perkembangan terkini menerusi maklumat rasmi pihak berkuasa. – AGENSI
The post Pihak berkuasa tutup laluan kawah api biru appeared first on Kosmo Digital.



