Kebakaran Kampung Bahagia: Enam PPS dibuka

20 Apr 2026 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kebakaran Kampung Bahagia: Enam PPS dibuka
Kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan pada Ahad mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah.

KOTA KINABALU - Sebanyak enam pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka dan menempatkan 248 orang daripada 219 keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Sandakan setakat jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, mangsa ditempatkan di beberapa PPS termasuk Dewan Projek Perumahan Rakyat Batu Sapi, Dewan Sekolah Kebangsaan Gas, Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi, Dewan Sibuga serta Sekolah Kebangsaan Karamunting.

Menurut kenyataan itu, jumlah keseluruhan mangsa masih dalam proses kemas kini berikutan pendaftaran di beberapa PPS masih berjalan.

Semalam, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, kebakaran itu melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar. - Bernama