Kebebasan bersuara, kritikan harus beradab - MCMC

LocalPolitics
19 Oct 2026 • 11:41 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kebebasan bersuara, kritikan harus beradab - MCMC
MCMC menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan mengkritik perlu dilakukan secara beradab serta bertanggungjawab, selain tidak menjadikannya alasan untuk melakukan buli siber. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan mengkritik perlu dilakukan secara beradab serta bertanggungjawab, selain tidak menjadikannya alasan untuk melakukan buli siber.

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa perbezaan pandangan tidak seharusnya membawa kepada gangguan, ugutan, penghinaan, serangan peribadi atau penyebaran maklumat peribadi yang boleh mengancam keselamatan dan maruah individu.

Menurut kenyataan itu, MCMC turut menegaskan bahawa perbuatan sedemikian tidak boleh menjadi normalisasi dalam masyarakat yang menghormati hak bersuara dan nilai saling menghormati.

"MCMC menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan bahawa setiap kebebasan datang bersama-sama tanggungjawab, khususnya dalam penggunaan media sosial.

"Suruhanjaya ini turut mengambil perhatian terhadap kebimbangan Seri Paduka Baginda mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), untuk menghasilkan kandungan palsu serta penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah dan kebencian,” menurut kenyataan MCMC pada Isnin.

MCMC dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa suruhanjaya itu, akan terus memperkukuh usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat menerusi kerjasama dengan penyedia platform, agensi berkaitan dan masyarakat.

Selain itu, suruhanjaya tersebut turut menyatakan bahawa sebarang kandungan disyaki melanggar undang-undang akan diteliti dan dikenakan tindakan sewajarnya, berdasarkan peruntukan undang-undang.

"MCMC turut menyeru rakyat Malaysia supaya menghayati titah Seri Paduka Baginda dengan menghormati perbezaan pandangan, menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi serta menjaga adab dan maruah orang lain menerusi setiap interaksi dalam talian,” menurut kenyataan itu.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved