MALAYSIA yang masih bergantung tinggi kepada import makanan terus berdepan risiko gangguan bekalan serta tekanan kenaikan harga sekiranya konflik global berpanjangan.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila ketegangan geopolitik di Asia Barat mula memberi kesan kepada kestabilan perdagangan antarabangsa sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kedudukan sekuriti makanan negara.
Sekiranya konflik berlarutan melebihi beberapa bulan, ia menimbulkan persoalan terhadap tahap kesiapsiagaan negara dalam memastikan bekalan makanan kekal mencukupi.
Tekanan terhadap harga dan ketersediaan makanan dijangka semakin dirasai khususnya dalam kalangan pengguna yang bergantung kepada barangan import.
Situasi ini juga boleh memberi kesan kepada keseluruhan rantaian bekalan makanan daripada peringkat pengeluaran hingga ke pengguna akhir.
Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin berkata, kenaikan harga petrol dan diesel dijangka sukar dikawal dalam tempoh terdekat sehingga mendorong peningkatan ketara kos barangan import bagi keperluan domestik.
“Kita sedia maklum negara masih bergantung kepada import bagi input pertanian. Sebarang kelewatan dalam bekalan baja, benih dan racun perosak boleh mengganggu jadual pengeluaran yang seterusnya menjejaskan ketersediaan bekalan makanan di pasaran.
“Selain itu, harga bahan mentah bijirin seperti jagung dan kacang soya yang digunakan sebagai makanan ternakan dijangka turut meningkat. Kenaikan ini didorong kos logistik termasuk pengangkutan laut serta darat sekali gus memberi kesan langsung kepada harga makanan di pasaran tempatan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, Malaysia berdepan cabaran dalam memastikan keterjaminan makanan sekiranya konflik berlarutan melebihi lima bulan khususnya dengan kebergantungan terhadap import serta kekangan sumber domestik.
“Berdasarkan Kajian Perancangan Guna Tanah Pengeluaran Makanan Negara 2021 oleh PLAN Malaysia, keluasan tanah bagi pengeluaran makanan di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 870,991.98 hektar. Namun, keluasan ini tidak melibatkan Sabah dan Sarawak yang masih mempunyai potensi besar untuk diterokai.
“Pada masa sama, keluasan tanah pertanian sedia ada menunjukkan trend penurunan termasuk di kawasan jelapang padi apabila sebahagiannya ditukar guna kepada aktiviti perindustrian dan perumahan,” katanya.
Menurut beliau, negara bagaimanapun masih berpotensi untuk memperkukuh pengeluaran makanan melalui penerokaan tanah baharu di Sabah dan Sarawak serta pembukaan jelapang padi berskala besar.
“Selain itu, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah menebus guna sebahagian tanah perladangan kelapa sawit untuk aktiviti pengeluaran makanan. Sektor perladangan negara kini berada pada tahap matang, justeru penglibatan pemain industri dalam pengeluaran makanan boleh membantu memperkukuh sekuriti makanan negara.
“Pembukaan kawasan baharu juga perlu diberi keutamaan kepada tanaman makanan berbanding tanaman eksport seperti durian bagi memastikan keperluan domestik terus terjamin,” ujarnya.
Beliau berkata, keterjaminan makanan negara turut terkesan oleh perubahan iklim apabila hampir 60 peratus kawasan tanaman terdedah kepada risiko bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kemarau.
“Sehubungan itu, penggunaan teknologi pertanian moden seperti ‘plant factory’ di kawasan bandar boleh membantu meningkatkan pengeluaran makanan tanpa bergantung kepada faktor cuaca.
“Bagi sektor ternakan pula, penggunaan sistem reban tertutup serta teknologi sensor dapat membantu mengawal suhu dan persekitaran bagi memastikan produktiviti ternakan kekal stabil,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berpandangan, Malaysia kini berdepan risiko ketidaktentuan bekalan makanan termasuk beras serta makanan ternakan seperti dedak.
“Negara kini berdepan risiko gangguan bekalan makanan namun belum mencapai tahap krisis. Malaysia mengimport sekitar 30 hingga 40 peratus bekalan beras dari India, Vietnam dan Thailand.
“Bagi makanan ternakan seperti dedak yang dihasilkan daripada jagung dan soya, negara dianggarkan mengimport lebih 70 peratus keperluan. Jika bekalan dedak terjejas, kos penternakan akan meningkat dan seterusnya mendorong kenaikan harga ayam, daging serta sumber protein lain,” jelasnya.
Shamshul Anaz berkata, kerjaan perlu segera melakukan pelaksanaan kawalan harga dan subsidi bersasar, pengukuhan stok makanan sekurang-kurangnya bagi tempoh enam bulan, memperluas rakan dagang baharu serta mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber sahaja.
“Pada masa ini, nilai import makanan negara dianggarkan mencecah hampir RM80 bilion setahun. Justeru, usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import perlu dipergiat dengan memperkukuh pengeluaran domestik.
“Aspek tadbir urus bekalan makanan perlu diperkemas termasuk membanteras ketirisan, memantau manipulasi harga oleh peniaga dan memastikan pematuhan terhadap kawalan harga siling,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu mempercepatkan pengeluaran makanan domestik dengan perancangan kitaran yang lebih efisien.
“Ini kerana sektor pertanian memerlukan tempoh antara tiga hingga 12 bulan sebelum hasil boleh dituai, dikomersialkan dan seterusnya dipasarkan kepada pengguna,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia perlu membina sistem sekuriti makanan jangka panjang yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi menghadapi ketidaktentuan global semasa.
“Keperluan ini bersifat mendesak. Antara strategi yang boleh dilaksanakan termasuk transformasi pertanian moden melalui penggunaan teknologi seperti ‘smart farming’ dan kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, pembangunan sistem sekuriti makanan domestik yang lebih strategik serta pengukuhan bekalan tempatan perlu dipergiat dengan mengurangkan kebergantungan kepada import seperti baja, dedak dan beras,” ujarnya.
Shamshul Anaz berpandangan, dasar serta penguatkuasaan berkaitan sekuriti makanan perlu diperkasa secara bersepadu melibatkan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.
“Malaysia juga perlu beralih daripada model kebergantungan import kepada pendekatan kedaulatan makanan bagi memastikan ketahanan jangka panjang.
“Pendekatan ini menuntut integrasi antara teknologi moden dan pengurusan strategik lebih cekap supaya sistem makanan negara berdaya tahan dalam menghadapi krisis global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada ekonomi dunia,” ujarnya.


