KLANG - Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan meningkatkan stok simpanan makanan negeri daripada satu bulan kepada tiga bulan sebagai langkah memperkukuh sekuriti makanan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Program Gudang Makanan Selangor yang diperluaskan tahun ini bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan global.
Menurutnya, keadaan geopolitik dunia termasuk ketegangan di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan kepada bekalan minyak dan gas sekali gus menjejaskan rantaian makanan.
"Situasi ini boleh memberi kesan besar kepada ekonomi dan bekalan makanan.
"Kita pernah melihat perkara sama ketika pandemik Covid-19, sebab itu sekuriti makanan amat penting," katanya semasa berucap pada Majlis Iftar Ukhwah PKPS dan Media di sini pada Jumaat.
Mohamad Khairil memberitahu, PKPS juga melancarkan Pelan Transformasi Agribisnis PKPS 2026–2030 (SEED2030).
Beliau menjelaskan, pelan itu menyasarkan peningkatan pengeluaran komoditi utama termasuk kelapa sawit sehingga 735,000 tan metrik atau peningkatan 65 peratus menjelang 2030.
Selain itu, katanya, pengeluaran ayam juga disasarkan meningkat sehingga 20.1 juta ekor dalam tempoh sama bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PKPS akan membangunkan projek ladang tenusu di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dijangka bermula pada suku kedua tahun ini dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 32,850 liter susu sehari.
"Program intervensi harga dan jualan rahmah juga akan diteruskan bagi memastikan rakyat Selangor dapat menikmati barangan makanan pada harga lebih rendah," jelasnya.
Pada masa sama, katanya, produk jenama Ehsan keluaran PKPS kini mula menembusi pasaran antarabangsa termasuk di Mekah, Madinah, Bosnia dan Herzegovina, Manchester dan Paris selain sudah berada di Australia, Yaman serta Oman.
"Semua ini adalah hasil sokongan rakan media dan rakyat yang membantu memperkenalkan produk Ehsan sehingga dikenali di peringkat antarabangsa," tambah beliau.




