
Kebocoran Didakwa Kertas Siasatan Kes Zayn Rayyan, Polis Terima Dua Laporan
Dua laporan berkenaan kebocoran didakwa kertas siasatan berkaitan kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin diterima pihak polis setakat ini, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kedua-dua laporan tersebut dibuat oleh ahli keluarga Zayn Rayyan dan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes tersebut.
“Siasatan lanjut berkaitan masih dijalankan dan yang saya boleh sahkan setakat ini adalah dua laporan telah dibuat.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Pendedahan Maklumat) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Hussein pada masa yang sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang kandungan yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi.
“Perbuatan seumpama ini bukan sahaja mengganggu siasatan tetapi juga proses pendakwaan di mahkamah.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati berkongsi kandungan berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Fahmi Abd Moin menjelaskan bahawa maklumat yang tular tersebut adalah fitnah.
“Pihak keluarga mempertimbangkan untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.
“Saya cadang kepada mereka, buat laporan berkenaan hari ini,” katanya menerusi laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Mayat mangsa ditemui selepas beberapa kali pihak polis melakukan pencarian. Kawasan penemuan mayat mangsa ialah di sebuah anak sungai berhampiran, sehari selepas laporan kehilangan mangsa dibuat.
Kanak-kanak autisme itu disahkan telah dibunuh selepas sesi bedah siasat dengan beberapa kesan kecederaan ditemui pada bahagian leher dan badan mangsa.
Sumber: Sinar Harian
The post Kebocoran Didakwa Kertas Siasatan Kes Zayn Rayyan, Polis Terima Dua Laporan appeared first on Siakap Keli.
