
IPOH: Punca kematian pasangan suami isteri warga emas bersama seorang cucu lelaki mereka dalam kebakaran rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, Tambun di sini pagi tadi kerana kecederaan kebakaran dan terhidu asap.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil bedah siasat mendapati, dua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan berkaitan kebakaran dan seorang lagi akibat terhidu asap.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan serta menghormati sensitiviti mangsa,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, jenazah ketiga-tiga mangsa iaitu Allahyarham Raja Ahmad Raja Ali, 70; Allahyarham Zaitun Mohamed, 64, dan Allahyarham Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18 selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini pada pukul 8.25 malam tadi.
Sebelum itu, kesemua jenazah dibawa ke Masjid Jamek Al Amin Tambun pada pukul 6.50 petang tadi untuk solat jenazah.-UTUSAN.
The post Kecederaan kebakaran, terhidu asap jadi punca kematian tiga sekeluarga appeared first on Utusan Malaysia.






