
PERTUMBUHAN pesat pusat data bagi menyokong ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara kini membawa cabaran baharu kepada negara-negara ASEAN, khususnya peningkatan permintaan terhadap sumber air.
Dalam menghadapi cabaran itu, Malaysia bukan sekadar menyokong agenda serantau, malah muncul sebagai negara yang mencetuskan dan menerajui pembangunan panduan ASEAN mengenai pembangunan pusat data mampan.
Peranan itu dapat dilihat menerusi Panduan ASEAN bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang dicadangkan Malaysia dan dijadikan salah satu keutamaan kerja ASEAN pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Ke-5 di Bangkok pada Januari 2025.
Sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, Malaysia turut menerajui pembangunan panduan tersebut sebelum penerimaannya dialu-alukan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Ke-6 di Hanoi pada Januari 2026. Kementerian Digital menyifatkan panduan berkenaan sebagai satu inisiatif yang dicetuskan Malaysia.
Perkembangan ini penting kerana pusat data bukan sahaja memerlukan bekalan elektrik yang besar, malah menggunakan air dalam sistem penyejukan pelayan.
Panduan ASEAN itu menyatakan bahawa sebuah pusat data berkapasiti satu megawatt yang menggunakan sistem penyejukan berasaskan penyejatan boleh menggunakan lebih 25 juta liter air setahun.
Keperluan terhadap air menjadi semakin penting apabila beban pengkomputeran AI terus berkembang dan menghasilkan lebih banyak haba yang perlu disejukkan.
Atas kesedaran itu, ASEAN memperkenalkan komponen khusus bertajuk Pengurusan Air dan Inovasi Penyejukan dalam panduan tersebut.
Antara langkah yang diketengahkan ialah penggunaan ukuran Keberkesanan Penggunaan Air (WUE), penilaian tahap tekanan air sebelum menentukan lokasi pusat data serta pengurangan kebergantungan terhadap air terawat yang turut diperlukan oleh penduduk.
ASEAN turut menggalakkan penggunaan air tebus guna, air bukan untuk minuman serta sistem penyejukan yang lebih cekap.
Bagi pusat data yang beroperasi di kawasan mengalami tekanan air tinggi, pemaju digalakkan menyediakan pelan pengurusan air dan mempertimbangkan sumber alternatif sekiranya kemudahan tersebut tersedia.
Lokasi pusat data juga dicadangkan supaya diselaraskan dengan perancangan sumber air sesebuah negara.
Panduan itu meletakkan purata WUE serantau sekitar 1.8 hingga 2.0 menjelang 1 Januari 2030. Bagaimanapun, angka tersebut bukan peraturan wajib yang dikenakan secara seragam ke atas semua negara ASEAN.
Sebaliknya, ia merupakan penanda aras serantau yang boleh diterima atau disesuaikan oleh negara anggota berdasarkan keadaan iklim, sumber air dan teknologi masing-masing.
Malaysia sendiri telah bergerak lebih awal di peringkat domestik. Pada Disember 2024, kerajaan memperkenalkan Garis Panduan Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengesyorkan WUE reka bentuk sebanyak 2.2 meter padu bagi setiap megawatt-jam (m³/MWh) atau lebih rendah.
Pengendali turut digalakkan meningkatkan prestasi kepada 2.0 m³/MWh atau lebih rendah dalam tempoh 10 tahun, selain memantau penggunaan air sebenar.
Lebih penting, kerajaan turut menghubungkan kecekapan penggunaan air, tenaga dan karbon dengan kelayakan mendapatkan insentif cukai di bawah Skim Percepatan Ekosistem Digital (DESAC).
Langkah ini menunjukkan bahawa pengurusan air tidak lagi dilihat sebagai isu alam sekitar semata-mata, sebaliknya semakin menjadi sebahagian daripada dasar pelaburan dan pembangunan infrastruktur digital Malaysia.
Langkah Malaysia mempunyai kepentingan lebih besar kerana negara ini sedang muncul sebagai salah satu lokasi utama pembangunan pusat data di Asia Tenggara.
Pertumbuhan tersebut menawarkan peluang dari segi pelaburan, pekerjaan dan pembangunan infrastruktur digital, tetapi pada masa sama menuntut perancangan sumber yang lebih berhati-hati.
Apa yang sedang berlaku di ASEAN menunjukkan perubahan penting dalam cara pembangunan digital dinilai. Kejayaan tidak lagi boleh diukur hanya berdasarkan jumlah pelaburan atau kapasiti pusat data yang dibangunkan.
Persoalan yang semakin penting ialah sama ada pembangunan digital dapat dilaksanakan tanpa mewujudkan persaingan baharu terhadap sumber air yang diperlukan oleh masyarakat, industri dan sektor lain.
Dalam konteks itu, Malaysia sedang memainkan dua peranan serentak, iaitu sebagai destinasi utama pelaburan pusat data dan pada masa sama membentuk piawaian serantau supaya pertumbuhan industri tersebut lebih mengambil kira aspek keselamatan air.
Di sinilah sumbangan Malaysia kepada ASEAN menjadi penting kerana masa depan AI bukan sahaja bergantung pada cip, elektrik dan data, tetapi juga keupayaan negara mengurus setiap liter air yang menyokong infrastruktur digital tersebut. -UTUSAN
DR. Mohd Firdaus Abdullah ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
The post Kecerdasan buatan ancam sumber air appeared first on Utusan Malaysia.



