
HARI ini teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi sebahagian daripada keperluan penting dalam kehidupan warga dunia, lebih-lebih lagi bagi generasi muda yang lahir dan membesar dalam era digital.
Malah, bagi kebanyakan daripada kita, kehidupan kini tidak lengkap lagi jika tiadanya AI.
Tidak kurang pula mereka yang menyalahgunakan teknologi ini untuk melakukan sesetengah jenis tugas. Malah, mereka yakin AI mengetahui segala-galanya sehingga menjadikan teknologi itu rujukan bagi mencari jawapan kepada semuanya.
Perkembangan ini telah lama mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelbagai pihak. Kebergantungan secara membuta tuli terhadap maklumat yang dijana AI berpotensi membawa pelbagai ancaman, termasuk penjajahan minda, penipuan, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi persepsi.
Selain itu, masalah kebergantungan secara melampau kepada teknologi dan AI juga boleh menjejaskan kemampuan seseorang untuk berfikir secara kritikal dan bijaksana.
Kini kita berada pada titik genting dan langkah harus diambil secara tuntas bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah parah. Ibu bapa dan pihak berwajib harus bertindak sebelum nasi menjadi bubur.
Dampak AI yang mengakibatkan perubahan paradigma dalam proses mencari, mencapai serta menaakul maklumat menjadi antara topik perbincangan dalam kalangan para delegasi sepanjang minggu lalu ketika menghadiri Persidangan Wikimania 2026, yang diadakan di Cité des Sciences et de l’Industrie, Paris, Perancis.
Tatkala Wikipedia menyambut ulang tahunnya ke-25, dunia berhadapan kenyataan pahit apabila semakin ramai di antara kita lebih tertarik untuk merujuk rumusan AI semata-mata berbanding membaca secara mendalam bagi memahami sesuatu perkara.
Mungkin ramai yang belum menyedari yang maklumat janaan AI tidak semestinya benar. Oleh sebab itu, AI tidak boleh dijadikan sumber ilmu, bahan rujukan yang sahih atau tempat untuk mendapatkan nasihat.
Malangnya, ramai yang menyalahgunakan AI sebagai jalan mudah untuk menyelesaikan tugas dan tanggungjawab dalam sekelip mata tanpa perlu berusaha keras.
Ini menyebabkan orang ramai menjadi sensitif terhadap perkara ini dan mula menyelar pihak yang disyaki menggunakan AI untuk menghasilkan sesebuah logo, reka bentuk, tulisan, lagu dan sebagainya.
Baru-baru ini, ramai warga maya menzahirkan kekesalan terhadap reka bentuk maskot Sukan SEA 2027. Mereka mengatakan rekaan itu tidak mempunyai sebarang unsur tempatan serta keistimewaan yang boleh dibanggakan.
Tambah memburukkan keadaan, huraian reka bentuknya pula bukan sahaja dianggap tidak konsisten tetapi juga tidak dapat menerangkan maksud secara terang-terangan. Akibatnya, ramai mendakwa maskot tersebut direka menggunakan AI, lantas mengutuk pihak kementerian.
Sentimen negatif terhadap arus penyalahgunaan AI turut dizahirkan secara terbuka dalam kalangan perwakilan yang menghadiri persidangan Wikimania baru-baru ini.
Perkara ini disentuh oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wikimedia, Bernadette Meehan di dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pembukaan persidangan.
Beliau menceritakan tentang kecenderungan orang ramai untuk bergantung kepada AI bagi semua perkara, serta kutukan terhadap perihal itu.
Menurut beliau, ketika berkhidmat di bawah pentadbiran Barack Obama, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu pernah berpesan agar tidak mengutuk atau menolak pilihan rakyat. Sebaliknya, pilihan tersebut perlu dilihat sebagai cabaran yang mesti ditangani bagi menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.
Sama ada suka atau tidak, AI akan kekal menjadi pilihan orang ramai. Maka, soalan yang patut ditanya bukanlah bagaimana cara menghentikan keleluasaan AI tetapi sebaliknya bagaimanakah untuk mengawal keadaan agar tidak menjadi terlalu teruk?
Hakikatnya, perubahan yang berlaku tidak dapat kita kawal. Namun, seperti yang ditegaskan Bernadette dalam ucapannya, kita masih berupaya mengawal cara kita menyesuaikan pendekatan agar terus memimpin dalam mempertahankan nilai dan prinsip di tengah-tengah dunia yang sentiasa berubah.
Maksudnya, kita tidak boleh terus menolak AI dalam segala perkara, pun begitu jangan pula menerima sebulat-bulatnya. Sebaliknya, perlu berwasatiyah dalam memastikan AI dapat dibentuk bagi menepati matlamat kita, dan membendung manusia daripada dipergunakan untuk menepati matlamat teknologi.
Kemarahan warga maya ada asasnya. Kita tidak boleh membiarkan sahaja penulisan, reka bentuk dan segala-galanya dihasilkan AI sehinggakan hilang roh unsur keinsanan daripada karya kita.
Walaupun AI mampu menghasilkan sesuatu berdasarkan data dan corak sedia ada, namun teknologi itu tidak berupaya berinovasi seperti manusia yang mengembangkan ilmu melalui kekuatan akal serta bimbingan wahyu.
Sekiranya manusia bergantung sepenuhnya kepada AI, kita bukan sahaja berisiko menerima maklumat yang belum tentu tepat, malah lambat-laun akan kehilangan daya cipta sendiri. Akibatnya, keupayaan untuk berfikir secara kreatif, berinovasi dan melangkah ke hadapan akan semakin terhakis walaupun dikelilingi teknologi yang semakin canggih.
Namun, dalam masa sama tidak boleh menafikan kelebihan teknologi itu dalam melaksanakan perkara perinci dengan cepat dan mudah. Maka, kita perlukan cara untuk hidup secara sinergi seiring teknologi yang berkembang pantas, tanpa menggadaikan nilai kemanusiaan.

KEMBANG BUDAYA ILMU
Inilah sebabnya kita perlu mengembangkan budaya ilmu bersifat keinsanan yang berupaya membimbing manusia ke arah memahami dunia sebagai berdasarkan nilai kerohanian dan berkemanusiaan.
Tatkala tuntutan dunia semakin menghakis nilai kerohanian serta kemanusiaan, kita memikul tanggungjawab besar untuk memastikan prinsip-prinsip murni terus subur dalam kehidupan agar tidak lenyap akibat ketamakan serta kerakusan memburu harta dan kuasa.
Inilah wawasan gerakan Wikimedia yang digerakkan oleh individu-individu yang berkongsi tekad untuk menyebarluaskan ilmu secara percuma. Walaupun berdepan dengan kemajuan teknologi yang sering mendorong manusia memilih jalan pintas, mereka tetap percaya bahawa ilmu yang bermakna lahir daripada usaha, rasa ingin tahu dan semangat untuk terus belajar.
Hakikatnya, manusia diciptakan sebagai makhluk bermasyarakat. Kehidupan dibina atas asas ukhuwah, kebersamaan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Justeru, ketika kita mendaki puncak kemajuan teknologi, jangan sesekali kehilangan pijakan pada nilai kemanusiaan. Walau setinggi mana kita menggapai langit, kaki tetap perlu berpijak di bumi dengan berpegang teguh kepada fitrah sebagai insan. –UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
The post Kecerdasan buatan tidak boleh menggantikan manusia appeared first on Utusan Malaysia.





