
Kecoh di media sosial berkenaan acara penuh kontroversi yang melibatkan beberapa lelaki sado dari Thailand membuat persembahan di sebuah bar di Kuala Lumpur.
Acara itu menimbulkan kemarahan ramai kerana ianya akan diadakan pada 30 April ini yang jatuh pada bulan Ramadan.
Menurut laporan Astro AWANI, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan restoran dan bar kontroversi yang mahu menganjurkan acara Thai Hot Guy di Jalan Tun Razak itu tidak mempunyai lesen hiburan atau permohonan menjalankan aktiviti hiburan.

Setiausaha politik perdana menteri Azman Abidin menyatakan siasatan DBKL juga mendapati lesen restoran premis tersebut telah tamat pada 4 Februari 2021.
“Justeru itu, DBKL juga dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat-syarat oleh penganjur,” katanya.
Acara tersebut tular selepas bar dan restoran berkenaan memuat naik poster acara berkenaan di media sosial, ia telah mendatangkan kemarahan ramai netizen dan menganggap perkara itu tidak sopan.
Selain itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata pihaknya meminta program itu tidak diteruskan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


