
KUALA LUMPUR – Perbezaan pendapat berhubung usul undi tidak percaya dipercayai menjadi punca tercetusnya kekecohan antara dua kumpulan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PKR Kuala Selangor hari ini.
Menurut sumber, beberapa ahli parti bersama individu luar didakwa kembali memasuki dewan kerana tidak berpuas hati terhadap usul yang dikemukakan terhadap ketua cabang, selepas mesyuarat tamat.
Mereka mendakwa usul undi tidak percaya terhadap M. Sivabalan tidak dibentangkan mahupun dibahaskan sepanjang mesyuarat berlangsung.
“Kekecohan itu berlangsung kira-kira 20 minit dan kami percaya ia dicetuskan oleh beberapa individu luar yang bertindak membuat provokasi.
“Kami juga telah mengenal pasti beberapa ahli parti yang dipercayai terlibat dan perkara itu akan dirujuk kepada kepimpinan pusat untuk tindakan lanjut,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, Sivabalan menjelaskan, usul tersebut telah diterima secara rasmi, namun tidak boleh dibahaskan di peringkat cabang kerana berada di luar bidang kuasa jawatankuasa cabang dan perlu dirujuk kepada kepimpinan pusat parti.
Difahamkan, usul berkenaan melibatkan undi tidak percaya terhadap beliau selain isu pelantikan ketua kampung.
Beliau turut mendakwa tiga ahli wanita mengalami kecederaan ringan serta bengkak pada tangan akibat insiden tersebut.
Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat, manakala satu lagi laporan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, turut mengesahkan kejadian itu dan menegaskan, insiden berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan mesyuarat.
“Mesyuarat agung tahunan cabang berjalan seperti dijadualkan dan kekal sah mengikut perlembagaan parti,” katanya.
Rakaman kejadian boleh disaksikan menerusi pautan https://www.facebook.com/reel/4451776778387761 - Getaran, 16 Mei 2026



