SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan usul yang dibawa oleh Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tuaran, Razeef Rakimin dalam mesyuarat agung tahunan cabang, minggu lalu sebagai satu bentuk sindiran terhadap kepimpinan parti pusat.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, cadangan yang menggesa agar beliau dipecat sekiranya melanggar perlembagaan parti itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas.
"Razeef memang begitulah, suka menyindir dan kawan baik sayalah.
"Sebenarnya dia sudah bosan dengan 'kluk-klek' (tunggang-terbalik) pimpinan parti ini, kalau tidak suka Rafizi ini pecat jelah," katanya menerusi siaran langsung audio siar Yang Berhent Menteri pada Jumaat.
Rafizi berpandangan bahawa usul tersebut turut mencerminkan rasa jemu sebahagian ahli akar umbi terhadap sikap tidak tegas kepimpinan tertinggi parti.
"Cabang-cabang PKR ini sudah tidak boleh dikawal, sudah tidak ambil peduli sebab itu dia membuat usul berkenaan kerana dia tahu bahawa sampai sekarang tidak pecat lagilah, itu sebenarnya.
"Bukanlah sebab PKR Tuaran bencikan saya, sebenarnya dia buat lawak dan dia menyindir pimpinan pusat," ujarnya.
Beliau turut berseloroh bahawa tidak mustahil Razeef sendiri bakal dikenakan tindakan disiplin susulan usul berkenaan.
"Lepas ini kita tengoklah, mungkin Razeef kena pecat dulu.
"Dia orang lama, mungkin dia bosan. Ini bukan parti yang dia kenal dulu," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Razeef mengusulkan supaya parti memecat Rafizi sekiranya didapati telah melanggar perlembagaan parti.
Beliau turut menegur parti supaya tidak menjadi ‘pondan’ dalam mengambil tindakan serta tidak menjadikan surat tunjuk sebab sebagai bahan lawak atau gurauan.
Katanya, kelantangan Rafizi yang disifatkan sesetengah pimpinan utama PKR sebagai melangkaui ‘garis merah’ perlembagaan parti, namun masih tidak berani untuk mengambil tindakan.



