Kecoh gara-gara reka cerita murid hilang ikut lelaki

6 Oct 2026 • 3:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kecoh gara-gara reka cerita murid hilang ikut lelaki

KULIM – Cerita rekaan dua murid perempuan mengenai seorang rakan mereka yang kononnya keluar dari kawasan sekolah bersama lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal mencetuskan kekecohan di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, murid perempuan berusia 11 tahun itu sebenarnya berada di dalam tandas sekolah dan tidak pernah keluar dari kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan seorang murid perempuan keluar dari sekolah bersama seorang lelaki dengan menaiki motosikal.

Katanya, siasatan awal mendapati pengadu yang merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan menerima maklumat daripada dua murid perempuan bahawa rakan mereka telah keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki.

“Bagaimanapun, hasil siasatan dan rakaman percakapan mendapati dakwaan tersebut tidak benar apabila salah seorang murid mengaku mereka-reka cerita berkenaan kerana sakit hati terhadap mangsa.

“Seorang lagi murid pula mengetahui cerita tersebut tidak benar, namun turut mengikutinya,” katanya di sini hari ini.

Syamsul berkata, siasatan mendapati murid terbabit hadir ke sekolah kira-kira pukul 7.20 pagi selepas dihantar oleh kakaknya sebelum mengikuti perhimpunan pada pukul 8 pagi.

Katanya, ketika perhimpunan, murid itu bermain dengan sanggul rakannya sebelum rakannya menarik tudungnya sehingga anak tudungnya tercabut.

“Berikutan berasa marah dengan tindakan rakannya itu, murid berkenaan pergi ke tandas untuk membetulkan tudung sebelum bersembunyi di dalam tandas dan tidak masuk ke kelas.

“Pada ketika itu, seorang rakannya memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa murid itu telah keluar dari kawasan sekolah bersama seorang lelaki dengan menaiki motosikal,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati murid terbabit tidak pernah meninggalkan kawasan sekolah dan dakwaan dia dibawa keluar bersama lelaki tidak dikenali adalah tidak benar.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang mahu dikenali sebagai Ina, 30, berkata, selepas mengetahui tentang kejadian itu, ramai yang hadir ke sekolah untuk membantu mencari pelajar terbabit.

Katanya, berdasarkan maklumat dari kumpulan WhatsApp kampung, pelajar itu kononnya menaiki motosikal memasuki kawasan lorong kecil di hadapan sekolah menuju ladang kelapa sawit.

“Ramai penduduk kampung mencari di kawasan itu, namun kami bersyukur apabila mengetahui pelajar terbabit telah dijumpai di dalam kawasan sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Kecoh gara-gara reka cerita murid hilang ikut lelaki appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved